Sunday, May 8, 2011

Ikrar Hanis Khairunnisa' 2

Sesekali hati berkecamuk memikirkan masa depan, sesekali hati tenang memikirkan kudrah dan iradah tuhan. Dia tidak terlepas dari memikirkan dilema kehidupan seperti manusia yang lainnya.

Saat ini hatinya tenang. Dicari-carinya formula untuk mengekalkan ketengannya itu. Apa yang harus sentiasa difikirkan, apa yang harus sentiasa dilakukan. Bimbang saat-saat resah datang semula. Dia tidak mahu perasaan resah, gundah gulana atas-sebab-sebab yang tidak pasti terus menghantui fikirannya.

Apa yang menghantui fikirannya? Masa depan. Masa silam. Keyakinan hari ini. Atau kemungkinan kegagalan hari esok. Dia terlalu risau. Kadang-kadang, dia memikirkan perkara-perkara yang tidak bisa terjadi tetapi tidak mustahil. Memikirkan kehilangan nikmat hari ini, orang-orang yang disayangi, bencana, kesempitan hidup, kesibukan kerja, gangguan manusia atau apa-apa makhluk dan pelbagai lagi. Begitu sekali. Namun, dia tidaklah memikirkannya dengan terlalu mendalam, segalanya hanya sekadar untuk mengingatkannnya kepada kehendak Allah Taala dan untuk menyedarkannya bahawa segala-galanya bukanlah milik dia.

Namun kadang-kadang pemikiran itu tidak mampu membawa dirinya ke tahap iman yang tinggi, dimana tahap keyakinan yang dia harus percaya bahawa segala-galanya adalah di dalam aturan ilahi. Kerjaya, keselamatan diri dan orang-orang yang disayangi, kelapangan atau kesibukan, harta, hatta sehingga gugurnya sehelai daun kering ke bumi, dan halaju angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup nyaman saat itu juga semuanya dalam aturan dan sukatan yang telah tertulis di sisiNya.

Dia kagum dengan manusia-manusia yang mampu memperlihatkan keyakinan mereka terhadap kehebatan Allah itu sehingga ke tahap sedalam-dalamnya dengan tingkah laku dan cara hidup mereka untuk setiap detik kehidupan. Pada hati mereka, ada zikir. Pada tingkah laku mereka, ada zikir. Pada senyum mereka, ada zikir. Pada ucapan mereka, ada zikir. Dan pada diam mereka, sudah tentu mereka berzikir. Ingat Allah. Kerana itulah Allah mengingati, dan mengutamakan mereka.

Soal ketenangan samar-samar yang diperolehi untuk saat-saat ini, dia terus memikirkan apakah yang telah dilakukannya sepanjang hari untuk tenang hingga begitu rupa. Pagi tadi dia masih belum berjaya bertahajjud setelah meninggalkannya untuk beberapa hari, namun telah digantikannya dengan rutin beberapa surah al-Qur'an. Mungkin juga faktor kesihatan. Ya, hari ini dia telah mendapat rehat yang cukup. Mungkin juga terhindar dari segala macam kesibukan dunia, maka dia sempat merenungi kebesaran ilahi. Ataupun... ya! hampir terlupa. Dia sedang mendalami sebuah novel sriritual . Di dalamnya ada zikir dan renungan tentang kebesaran Allah. Tapi.. dia sedar itu semua tidak mencukupi, hatta amalan yang tidak seberapa itu semua juga adalah rezki Allah taala.

Dia risau kembali. Sekejap dia mendengar kata hati, ada lintasan perasaan yang menyuruhnya untuk tenang. Katanya, semua itu tipu daya syaitan. Dipesan-pesan supaya membanyakkan lagi amalan, mudahan-mudahan Allah akan memberikan petunjuknya yang jelas dan terus memeliharanya dari kejahatan diri dan syaitan.

Tipu daya syaitan. Tipu daya dunia.

Apa itu tipu daya syaitan?.
Itulah apa-apa yang dirasakan di hati yang bertentangan dengan sifat-sifat Allah. Jika dia adalah Allah yang dinobatkan dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim. maka seharusnya hamba-hambanya tidak boleh memikirkan atau merisaukan tentang kezaliman atau ketidakadilan yang akan menimpa hidupnya. Dan apa-apa lagi yang semisal dengan contoh tersebut.

Tipu daya dunia?
Itulah apa-apa sahaja yang melalaikan diri dari mengutamakan Allah dalam setiap hela nafas hamba. Biasanya manusia tidak sedar bahawa matlamat sementaranya telah menjauhkannya dari matlamat akhirnya. Kerjayanya contohnya, ada sesetangan manusia yang terlalu mengejar prestasi kerjaya , ataupun mengutamakan kesibukan kerja lebih dari menyibukkan diri untuk mengutamakan yang difardhukan. Itu perkara biasa hamba-hamba akhir zaman.

2 comments:

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)