Sunday, February 28, 2010

A.Q.I.L.A.H

Teringat kisah 20 tahun yang lampau,awal tahun 1993 merupakan tahun pertama kali aku menjejejakkan kaki ke sekolah secara rasmi . Tahun 1 Merah. Itulah nama kelasku. Masih terdapat beberapa kisah yang masih segar dalam benak fikirku hingga kini. Banyak persoalan yang terjawab tentang apa yang aku lakukan sekarang jika aku meneliti pengalaman aku sebagai kanak-kanak sekolah rendah suatu masa dulu…hatta, aku sendiri tidak menyedari bagaimana aku mampu mengeja namaku sendiri sekaligus melenyapkan fobiaku pada guru-guru yang suka marah-marah jika aku tidak dapat menulis nama pada lembaran kerja yang mereka edarkan. Kini aku mengerti…

Februari 2010.

Aku berjalan memantau gerak kerja anak-anak didikku di tahun 1 Ibnu sina menyiapkan tugasan yang aku berikan. Tidak lama kemudian, beberapa orang murid (terkedek-kedek dengan comelnya) datang ke meja guru menyerahkan tugasan yang telah disiapkan.. aku menyemak tugasannya. Aku menelitinya. Tulisan yang kekok tapi lengkap. Susunan yang agak tunggang terbalik tapi penuh. aku tandangan, tulis tarikh dan, 3 bintang ditandakan di sisi helaian lembaran kerja tersebut. Tapi.. tugasannya kekurangan sesuatu. Nama.

“ Aqilah, lupe tulis nama ke…?” aku membesarkan mata, mendekatkan mukaku ke mukanya dan cuba menggayakan seperti seorang kanak-kanak yang keliru, dan senyum.

Aqilah senyap.

“ok…aqilah buat molek dah ni. Ustazah bagi 3 bintang doh. Tapi… macammane ustazah nak bagi hadiah nanti kalu ustazah tak ingat nama..Aqilah tak tulis nama ni…”

Aqilah senyap.

“ ok, aqilah gi duduk, tulis nama dulu deh..”

Aqilah tak bercakap walau sepatah. Perlahan-lahan dia mengambil semula kertas di tanganku dan kembali ke tempat duduknya.

Aku meneruskan kerja menyemak murid-murid lain. Tidak lama kemudian aku lihat Aqilah beratur semula menunggu giliran untuk disemak tugasannya. Sampai gilirannya, aku memeriksa bahagian ruang nama. Kosong. Tiada nama.

“Aqilah, kenapa tak tulis nama sayang?..bukanke ustazah suruh tulis tadi.. “ Aku pelik.

Aku memandang mata aqilah dengan tepat. Kelihatan matanya digenangi air. Muka sebek. Dia mula menitiskan air mata.

“ saya tak pandai tulis nama” Aqilah berkata kepadaku dalam loghatnya sambil mengesat pipinya dengan hujung lengan bajunya.

Hati aku tersentuh, teringatkan kisah silam. Aqilah ini adalah aku pada 17 tahun yang lampau. Namun nasibnya jauh lebih baik.

Aku senyum kepadanya

“Hm..aqilah boleh tolong ustazah tak, ambilkan kerusi di hujung sana tu? Ambil dan bawa ke sini, boleh?” aku bertanya.

Aqilah tanpa sempat menghabiskan anggukannya bergegas kearah kerusi yang aku tunjuk dan mengheretnya ke sisiku.

“ok..terima kasih..! duduk aqilah” Aqilah tanpa banyak bicara duduk di sisiku di atas kerusi yang diseretnya sebentar tadi.

Aku menyediakan satu kertas lain untuk menulis sesuatu di atasnya.

A.Q.I.L.A.H

Satu nama tercoret di atas kertas tersebut. Aku mengajarnya mengeja nama tersebut sehingga dia mampu.Tidak semudah itu dia memahami huruf sepertimana kanak-kanak lain memahaminya. Maka aku mereka satu cerita.

“al kisah…Pada suatu hari, ada huruf A berlari-lari mencari kawannya huruf Q di dalam sebuah taman, kemudian bila sudah jumpa, mereka berjalan bersama-sama . Tiba-tiba, mereka terserempak dengan huruf I yang sedang digigit oleh ikan. Huruf A dan huruf Q menolong huruf I melepaskan dirinya dari gigitan ikan tersebut. Ikan itu mengganas, dia mahu memakan huruf A dan huruf Q pula, tiba-tiba datang sebatang lampu jalan yang berbentuk L memancarkan cahayanya yang ajaib kearah ikan tersebut. Lampu jalan itu ingin menolong mereka. Lantas, apabila ikan tersebut terkena cahaya lampu jalan itu, ikan tersebut menjadi lemah dan mengecil, maka selamatlah huruf A, Q dan I. lampu jalan berbentuk L itu menjadi sahabat mereka. Kemudian mereka meneruskan perjalanan mereka sehinggalah mereka terjumpa kembar A. Kembar A itu sedang bermain jongkang jongkit bersama huruf H…Mereka berkumpul dan jadilah mereka sahabat baik 6 sekawan”

Aqilah tergelak kecil. Tangannya menunjuk kearah lampu jalan yang aku lukis di atas kertas tersebut.

“ comel tak lampu ni?”aku menyambut tawanya.

Aqilah mengangguk.

“ sekarang, cuba aqilah sebut, siapakah kawan-kawan huruf A?” Aku memintanya menyebutnya mengikut turutan.

Aqilah menyebutnya satu –persatu berdasarkan lukisan dengan jalan cerita yang aku lukis. Kemudian aku memintanya menulis huruf-huruf yang terbentuk.

Lengkap. Aqilah berjaya menulis 6 huruf namanya tanpa meniru .

Di sisiku, Aku meminta dia menyalin semula namanya sebanyak 10 kali sementara aku menyemak tugasan kanak-kanak lain. Aku puas hati, sekurang-kurangnya aku dapat merasakan seperti hanisah 17 tahun lampau terubat dan tersenyum dengan bimbingan itu. Jika diberi pilihan, itulah yang aku mahukan 17 tahun dulu. Perhatian, Kasih sayang, belaian itu mampu menjadi bukti dorongan yang kuat untuk berjaya bagi kanak-kanak. Walaubagaimanapun,jika aku berkesempatan berjumpa dengan guruku yang telah mengajarku dengan pendekatan Gestalt( marah dan ancaman), aku tetap jadi pandai kerana itu. Walau apapun, terima kasih cikgu, sayang dan marah cikgu adalah pemula segala…

2 comments:

  1. tahniah ustazah..
    teruskan perjuangan sebagai muaddib yg x pernah jemu mendidik.. (^_^)

    ReplyDelete
  2. trima kasih.. hazwan jge..sma2 bjuang dlm mendidik anak2 didik mnjdi muslim sjati, insyaAllah..

    ReplyDelete

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)