Friday, May 15, 2009

Fiqh Al-Hadarah: Satu Renungan Awal (siri 3)

Entri ini saya pinjam dari www.rausyanfikir.com


Oleh Ibn Ramadhan

Maha suci Allah yang menguasai dan memiliki semua makhluk di bumi. Selawat dan salam kepada Rasul Muhammad saw ibni Abdillah. Seterusnya seluruh kaum keluarga dan para sahabat Baginda saw. Salam juga kepada ummat kebangkitan kali ke 2 walau di mana saja saudaraku berada, yang bersungguh-sungguh membuktikan akan kebenaran Agama Allah yang terakhir ini.





Saya berpendapat era kebangkitan Islam sebelum ini, yang dipandu oleh sebahagian gerakan ummat Islam semasa telah berjaya menterjemahkan `fiqh al-harakah` sehingga kebanyakan ummah dapat menerima bahawa perjuangan menegakkan kembali Islam mestilah bersama jamaah atau gerakan Islam. Ini `key-word` asas fiqh al-harakah. Kelemahan dan kesilapannya ada iaitu dalam usaha menjalankan kerja-kerja tersebut sebahagiannya gagal membina hadharah disebabkan mereka berfikiran akan dapat dibina bila adanya negara. Bila mereka tidak mewujudkan hadharah sendiri (hadharah Islamiyyah) yang sepatutnya mereka bina bersama-sama, mereka terperangkap dengan `hadharah semasa` yang menawarkan kekuasaan politik demokrasi, boleh kita simpulkan sebagai ketidakfahaman tentang `fiqh al-hadharah`.





Dalam perjuangan Islam yang penuh dengan mehnah dan cabaran ini menuntut ummatnya supaya lebih berhati-hati serta benar-benar faham akan hakikat perjuangan dan hakikat Agama Islam itu sendiri yang mesti diterima pakai serta diperjuangkan oleh penganutnya seperti yang dicontohkan oleh Baginda Rasul saw dan generasi awal. Supaya agama yang kita anut ini, mempunyai ciri-ciri persamaannya dengan anutan saudara-saudara kita yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. InsyaAllah, usaha-usaha bagi memahami dengan lebih mendalam tentang fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah sesuatu yang sepatutnya mendapat tempat di hati-hati ummah kebangkitan kali ke 2 ini.






Dengan bersangka baik, insyaAllah! ummah akan dapat juga mengikutinya walaupun dengan perlahan-lahan. Seperti ummat Islam hari ini mulai faham untuk memperjuangkan Islam mestilah bersama-sama jamaah sekurang-kurangnya. Sebenarnya ummat Islam yang faham fiqh al-harakah bukan atas sentimen atau semangat sahaja, rasa terpanggil untuk menyertai jamaah atau gerakan Islam ialah untuk tujuan perjuangan membina atau membangunkan kerja-kerja Islam sebab kerja Islam ini BESAR, HEBAT, LAMA, JAUH BERJALAN, BERAT tak mampu dibuat atau dibangunkan oleh individu, sebab itu Nabi saw pun tak buat kerja seorang diri.






Wadah yang digerakkan berasaskan kefahaman fiqh al-harakah akan menjana kerja-kerja perjuangan kita. Disebabkan perjuangan kita perjuangan Islam ia akan menghasilkan Hadharah Islamiyyah. Jika wadah itu wadah sekular ia akan menghasilkan hadharah sekular, ringkasnya wadah jahiliyyah akan menghasilkan hadharah jahiliyyah.






Tetapi jika kefahaman tentang fiqh al-harakah pun tak jelas, cara-cara nak menjana pun kurang, apalagi sistem janakuasa pun `fashion` lama, tak Islamik, tiru tren jahiliyyah, ini yang selalu ummah akan hadapi gangguan `black out` bekalan tenaga. Adakah semua ummah kebangkitan kali ke 2 boleh terus bersetuju dengan wadah yang tidak berhasil menjanakan Hadharah Islamiyyah. Sebaliknya mengalihkan `beringnya` ke arah mencapai cita-cita politik semasa mengikut kehendak hadharah orang ramai.






Orang ramai yang jahil tentang Hadharah Islam begitu diplomatik menjuruskan kehendak mereka ke atas wadah atau pihak kita yang dah tercabut rasa malu mengidamkan `singgahsana` hadharah mereka? Ini satu lagi persoalan masa kini yang ummah kena betul-betul serius menangganinya.Ummah jangan `berjurus` tak kena tempat, taat kepada jamaah atau pemimpin selagi tidak bercanggah dengan taat kepada Allah swt dan taat kepada Rasul saw.






Peranan fiqh al-hadharah pula dapat mengatasi kejahilan ummat dan sikap fanatik kepada sesama makhluk yang sanggup memperbodohkan aqal sendiri. Fiqh al-hadharah ialah kefahaman secara yang bersungguh-sungguh untuk menghidupkan ajaran Islam itu sendiri dalam seluruh hidupnya secara peribadi, keluarga, kejiranan, jamaah, masyarakat dan sampai kepada yang lebih besar. Itu tujuan Islam diturunkan kepada ummat manusia,`Rahmatan lil`alamin`. Sebab itu bagi saya memahami fiqh al-hadharah ialah memahami sesuatu tentang seluruh sistem kehidupan seseorang Muslim itu sendiri, dari mana dia datang, untuk apa dia meneruskan hidup dan ke mana kesudahan segala aktivitinya.






Perjuangan menegakkan Hadharah Islamiyyah di Madinah telah bermula 13 tahun di Mekah lagi, dengan sekurang-kurangnya 2 percubaan/eksperimen hijrah iaitu ke Habsyah dan ke Taif. Seterusnya mengadakan perjumpaan dengan khabilah-khabilah dari Madinah pada musim haji dan mengIslamkan mereka lalu menghantar naqib atau murrabi kepada mereka bagi membina hadharah awal di sana. Saya lebih suka menyebut Hadharah Islamiyyah di Madinah bukan Negara Islam Madinah kerana istilah negara itu sendiri telah diberikan oleh generasi kemudian. Lagi pun istilah negara itu menjadikan ummah mudah keliru kerana ummah akan membandingkan dengan negara yang ada pada hari ini. Sedangkan yang Nabi dan para sahabat generasi pertama dulu tegakkan ialah, peribadi, biah termasuk keluarga yang beriman membina kekuatan ukhuwah dan ummah itulah sebenarnya hadharah.






Jadi rasanya sebagai ummah kebangkitan kali ke2 sepatutnya faham bahawa kita berpakat, berorganisasi, berjamaah ialah supaya kehidupan kita sekarang (semasa) dapat berjalan dengan baik dan mampu menghadapi suasana sekeliling yang bukan hadharah yang kita mahukan. Tiada makna kita berpakat untuk membina hadharah yang bukan hadharah Islam seperti sekular atau demokrasi, yang orang lain tentukan 24 jam sehari ke atas kita. Kita yang sepatutnya berpakat bersama-sama menentukan kehidupan hadharah sendiri.

Sebagai kesimpulan, suka saya menyatakan bahawa tiada apa-apa percanggahan antara kedua-dua gagasan fiqh al-harakah dan fiqh al-hadharah yang telah para ulama` terdahulu sampaikan kepada kita. Cuma kelemahan ummat sendiri sebelum ini kurang memahami keduanya atau terlebih tumpu kepada fiqh al-harakah lalu terbabas, sehingga merasakan kehebatan harakah masing-masing adalah segala-galanya. Harakah atau jamaah tidak boleh dipertikai atau ditegur langsung, begitu juga dengan para pimpinannya. Sedangkan harakah atau jamaah tadi cuma alat untuk menjana perjuangan iaitu kehidupan berhadharah sesama ummat Islam.






Jangan terkejut saudaraku! Alat, harakah atau wadah boleh bertukar ganti… hak Allah swt yang menentukan kepada golongan mana yang layak tetapi hadharah atau bentuk dan ciri-ciri Hadharah Islamiyyah sama sekali tidak berubah seperti yang dibina oleh Nabi Besar kita Muhammad saw dan seluruh ummat Islam generasi pertama dahulu. Semuanya kembali kepada kita sendiri yang harus mengenali dan tahu menilai agamanya sendiri. Semoga Allah akan memahamkan kita ummat kebangkitan kali ke 2 akan agamaNya.






Maksud firman Allah - “Ia menurunkan air dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api (lebur) untuk dijadikan barang perhiasaan atau peralatan yang diperlukan, juga timbulnya buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misalan tentang perkara-perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang sebagai yang tidak ada harganya (nilai). Adapun yang memberi manfaat dan faedah kepada manusia maka ia tetap berada di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal sebangai perbandingan” (ar-Radd 17).


Sekian dahulu, sebagai memberi pandangan, wallahu`alam bissawab!

No comments:

Post a Comment

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)