Tuesday, September 8, 2009

Bicara Gerak Kerja Perjuangan Pendidikan.



Sepanjang sesi praktikum lepas yang baru sahaja tamat sebelum Ramadhan, aku bersyukur kerana dikurniakan kekuatan dan kelapangan dari emosi akibat tekanan tugasan praktikum yang begitu menggila. Syukur, kali ini aku belajar erti tenang dan tawakkal. Tidak ada perkara yang perlu dirisaukan seandainya usaha yang dicurah itu tingkatannya adalah ihsan dan konklusinya adalah tawakkal. Seandainya tidak mencapai seperti apa yang diharapkan setelah yakin mengamalkan ihsan,maka, mungkin sebenarnya hasil itulah yang terbaik buat diriku. dan jika hasilnya adalah seperti yang diharapan, maka segala kemenangan itu hanyalah milik Allah. Apa yang patut ada pada seorang hamba hanyalah- usaha.

Ketenangan membuahkan hikmah.

Alhamdulillah, Kem Bestari Anak Soleh ( KEBAS) yang kudamba untuk merealitikannya di sekolah-sekolah akhirnya ketemu hasil yang memuaskan. Setelah berlelah turun naik pejabat untuk meluluskan kertas kerja, meyakinkan pihak sekolah akan 'ideologi2ku' (bagi seorang guru praktikum, aku masih baru dalam lapangan pendidikan di landasan sebenar, maka penting bagiku mendapatkan kepercayaan pihak pentadbiran), berhadapan dengan masalah dalaman setiap panitia,dan mengkaji latar belakang pelajar dan sekolah, akhirnya aku bertemu hasilnya.




Hari terakhir KEBAS dalam satu slot penggulungan..

Kem Bestari Anak Soleh (KEBAS) berobjektifkan membentuk jatidiri matang anak soleh bertitik tolak dari kesedaran anak-anak pelajar tentang segala tanggungjawab. Kem ini mengumpulkan tenaga rakan-rakan praktikum Pendidikan Islam dari 4 buah sekolah termasuk tenaga guru KPLI. Menyedari keterbatasan diri untuk menggalas taklifan sebagai pengarah projek,maka sungguh aku berpuas hati atas kerjasama dari setiap tenaga dan setiap detik buah fikiran yang mereka lontarkan untuk manifestasi kebaikan bersama. Segala puji bagi Allah..

Sebenarnya, di sebalik pelaksanaan kem tersebut, aku punya agenda tersendiri. Mereka tidak menyedarinya , dan aku sendiri membiarkan eksperimen ini membuahkan hasil...sehinggalah hari semalam, aku dipanggilseorang sahabat untuk membincangkan program Kem Bestari Anak Soleh 2. Ternyata hipotesisku membuahkan keputusan yang positif. Alhamdulillah, rakan2ku telah nampak kepentingan mengadakan aktiviti2 tarbiyyah yang aktif di sekolah.

Beberapa orang dari kalangan rakan-rakan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang lain dan bekas-bekas tenaga Kem Bestari Anak Soleh 1 rupanya melukis perancangan baru untuk menjadikan ia satu projek tetap. Aku tersenyum. Itulah yang aku harapkan!
Rakan-rakanku telah merasai pengalaman menganjurkan program tarbiyyah itu, dan mereka mula berfikir, mula 'merisaukan ' masa depan generasi mereka sendiri! dan ia menjadi titik tolak pelaksaan gerak kerja Islam dengan penuh kesedaran dalam lapangan pendidikan.
Jika dulu, aku risau melihat bakal-bakal ustaz bertikam lidah mempertahankan isu-isu yang mereka sendiri tidak faham, melaungkan takbir atas dasar semangat perkauman, bakal2 ustazah pula masih leka membelek majalah-majalah fesyen, merisaukan tudung-tudung terkini yang belum dibeli untuk di 'matching' kan dengan baju, merisaukan jenis-jenis masakan yang perlu dicuba setiap hari, merisaukan pointer peperiksaan....sekarang, aku masih tidak berhenti risau. Perubahan yang dapat ku lihat masih terlalu sedikit. Tapi aku harus terus bersabar.. Kadang2 aku terasa begitu menyampah melayan karenah2 manja sesetengah anak melayu yang belum kenal erti susah dan korban ini, tapi aku berharap supaya Allah terus memberikanku kekuatan dan kesabaran dalam mendidik rakan-rakanku ini dengan kasih sayang..
Tetapi, kadang-kadang pendekatan 'syadid' yang terpaksa ku gunakan mengundang rasa tidak sedap hati di kalangan mereka. Maafkan aku sahabat, aku terpaksa. "Antum semakin menjadi-jadi bila dimanja, walau ana dibenci, pendekatan inilah yang merubah antum. Antum perlu sedar segera kerana beban taklifan yang besar akan antum pikul tak lama lagi. Kita semua tak mahu menanggung dosa".
"Dan seandainya antum sedar ana melakukan semua ini kerana sayangkan antum sampai ke syurga"
"Dan ana juga mahukan antum faham dengan baik tugas seorang pentarbiyyah anak-anak pelajar ini. Mentarbiyyah anak-anak pelajar bukan sekadar di dalam bilik darjah. Tidak perlu terikat dengan silibus terhad buku teks atau manhaj kerajaan. Ilmu di dada mesti cukup mantap bukan sekadar ilmu pada tahap yang perlu ada dalam minda anak-anak pelajar".

Kini alhamdulillah, walaupun kecil, inilah kesedaran yang mungkin mampu menjadi titik tolak kepada keterbukaan minda antum seterusnya. antum mula risau tentang taklifan kita. Inilah 'kerisauan' yang sepatutnya ada dalam setiap benak fikiran pendakwah, lebih-lebih lagi bagi guru-guru pendidikan Islam untuk melakukan gerak kerja Islam dalam lapangan ini. Sedih mengenangkan kualiti para Ustaz dan Ustazah di sekolah kini, ditambah pula panitia Pendidikan ISlam menjadi anak tiri kepada pihak pentadbiran sekolah pada majoriti sekolah-sekolah hari ini. Biasalah, kesilapan sistem pendidikan kita juga. Dan aku belum pasti sejauh manakah aku mampu membentuk paradigma 'guru pentarbiyyah' yang aku idam-idamkan..InsyaAllah..sikit-sikit lama-lama jadi gunung berapi.

Kecil-kecil cili api... 'Pedas' dengan curiosity, maka di tahap 'rebung' inilah ia menjadi tanggungjawab 'guru pentarbiyyah' (murabbi) untuk melenturnya.


InsyaAllah... pasakkan keyakinan.

Cuma kini, aku perlukan sokongan, kekuatan dalam meneruskan agenda ini..Mungkin perancanganku ini tidak tersenarai dalam mana-mana taqwim persatuan gerakan Islam di sekelilingku, tetapi aku masih mengharapkan ada jiwa-jiwa yang mampu memahami dan menyertaiku di sini..Ya Allah..permudahkan urusanku.

No comments:

Post a Comment

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)