"Dunia itu perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya itu ialah perempuan yang solehah (perempuan yang baik tentang agama, akhlak, rumahtangga, pergaulan dan sebagainya)." Riwayat Muslim
Perhiasan ditakrifkan sebagai suatu yang lebih cantik, diperlukan untuk menambah kecantikan yang sedia ada pada sesuatu yang cantik, bertujuan untuk menjadikan sesuatu itu paling cantik.
Maka, wanita solehah itu ialah makhluk yang cantik, diperlukan untuk menambahkan keharmonian kehidupan, bertujuan untuk menjadikan kehidupan itu sebagai kehidupan terindah.
Wanita Allah ciptakan berbeza dari lelaki, dari segi fizikal dan fitrah. Ada tujuan dan maksudnya. Agar terbeza tugas dan tanggungjawab, dalam memakmurkan bumi Allah.
Dianugerahkan sifat pemalu, lemah-lembut, penyabar, berhalus, dan kuat perasaan, untuk menyeimbangi lelaki yang Allah jadikan kuat fizikalnya, panjang akalnya, kasar dan tegas tingkah lakunya.
Ingat, wanita tidak memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi kerana mereka ada lelaki untuk membantu dan lelaki tidak memerlukan kekuatan perasaan yang tinggi kerana mereka juga ada wanita untuk membantu...
Lemah lembut dan sabar yang dimiliki oleh seorang wanita menyebabkan ia mampu melayan ragam anak-anak, mampu berdepan dengan suaminya dengan baik. Halus perasaan membolehkan ia cepat memahami hasrat dan masalah yang dialami oleh suaminya.
Sifat berhalus menyebabkan wanita mampu melakukan kerja-kerja remehseperti menjahit, menyulam, memasak dan menghias rumahtangga. Sifat sabar membolehkan wanita melakukan kerja-kerja yang berulang-ulang atau yang sama setiap hari seperti memasak, membasuh, mengemas rumah dan sebagainya tanpa jemu-jemu.
Kurang akalnya wanita menyebabkan mereka suka jadi orang yang dipimpin, lemah dari segi fizikal menyebabkan mereka memerlukan pada seorang lelaki sebagai pelindung diri.
Justeru kerana itu, Allah yang menciptakan kita, tentunya Dia Maha Mengetahui di mana lebihnya wanita dari lelaki, untuk dimanfaatkan; dan di mana kurangnya wanita di sisi lelaki agar kekurangan itu boleh diisi oleh lelaki. Oleh sebab itu Allah tidak membebankan wanita dengan tugas yang berat-berat yang mana hanya akan menyusahkan wanita dan tidak akan ada kemampuan mereka untuk melaksanakan dua kerja dalam satu masanya.
Sebagai bukti kasih sayang-Nya, Allah tidak bebankan wanita mencari nafkah, tidak disuruh membanting tulang empat kerat yang lemah untuk tujuan itu; semuanya itu
tanggungjawab lelaki.
Persamaan hak di sisi Allah antara lelaki dan wanita, itulah persamaan hak yang patut dituntut dan dijadikan impian setiap wanita. Allah sendiri menyatakan di dalam Al Quran yang Ia tidak melebihkan seseorang dengan seseorang yang lain melainkan dari segi taqwanya. Begitu juga Allah tidak membezakan jantina samada lelaki dan perempuan; semuanya sama pada pandangan Allah sekiranya mereka beriman dan bertaqwa. Firman Allah yang membawa maksud:
"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, baik lelaki atau perempuan sedangkan dia orang yang beriman maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidaklah mereka teraniaya sedikit pun." An Nisa: 124
"Barangsiapa yang beramal soleh lelaki mahupun perempuan sedangkan ia beriman pula maka mereka akan masuk syurga serta mendapat rezeki di sana dengan tiada terhingga." Mukmin:40
Tugas mengandung, bersalin, mengurus rumahtangga, memberi khidmat sebagai isteri kepada suami, mengurus dan mendidik anak-anak sudah cukup berat dan susah untuk dilakukan oleh seorang wanita yang lemah. Sehingga kerana itu Allah mengambil kira apa yang dibuat oleh wanita itu sama pahalanya dengan lelaki yang bergelanggang di luar rumah...
Rasulullah pun pernah katakan..
wanita yang membasuh pakaian suami dan anak-anaknya, diberi pahala...
wanita yang memasak makanan dan menghiris bawang sampai keluar air matanya, diberi pahala...
wanita yang bangun malam kerana mengurus anaknya seperti menyusu dan menyalin lampin dikatakan sama pahalanya dengan lelaki yang berjihad pada jalan Allah...
Pendek kata setiap pekerjaan yang dilakukan oleh wanita di dalam rumahtangga walaupun terlindung dari pandangan orang lain, semuanya itu dikira dan dinilai oleh Allah. Walaupun perkara yang dibuat itu untuk kesenangan dan keselesaan dirinya sekeluarga, dikira ibadah selagi ia melakukan kerja-kerja itu kerana memenuhi tuntutan Allah, yakni mencari keredhaan Allah.
Wanita itu walaupun di sisi manusia ia mungkin tidak terkenal sebagai seorang ahli profesional yang hebat,atau sebagai tokoh politik yang boleh menggegarkan negara atau seorang pakar dalam ekonomi dunia, atau apa saja bidang yang dimuliakan dan dianggap istimewa oleh manusia, tetapi di sisi Allah dia dikenal dan dimuliakan malaikat, para roh orang-orang soleh dan wali-wali Allah, segala makhluk Allah di darat dan di laut sentiasa mendoakan keselamatan dan keampunan untuknya. Sehingga kerana itu dia menjadi kecintaan para kekasih Allah di alam malakut. Sementara di bumi nyata dia dikasihi oleh anak-anak, suami, jiran-jiran dan kaum keluarganya kerana khidmat dan kasih sayang yang dicurahkan pada mereka. Walaupun ia tidak memiliki ijazah yang tinggi melangit, pangkat, nama tetapi tempat kebesaran telah pun menunggunya di akhirat.
Itu semua dapat dicapai dengan melakukan tugas yang sudah sesuai dengan fitrah wanita dan sudah cukup untuk menjadikan syarat wanita diberi hak yang sama dengan lelaki di akhirat kelak.
WaNita, Di ManA GelanGGang JiHaDku yang PerTAmA?- sudah tentu BAYTku..
WaNita, siApa Mad'U ku yang PerTAmA?- sudah tentu SUAMI dan ANAK-ANAKku..
No comments:
Post a Comment