Sunday, March 11, 2012

Tarbiyyah di Rumah 10: Keyakinan



Cadangan situasi:
Di waktu malam.

Alatan:
Ruang bilik.

Cara-cara:
1. Tanyakan kepada anak-anak apakah yang paling mereka takut.
2. Tanyakan lagi kepada anak-anak siapakah yang paling mereka sayang.
3. Biasanya anak-anak akan menjawab bahawa perkara yang paling mereka takuti ialah hantu dan perkara yang pang mereka sayang ialah anda yaitu ibu dan bapa mereka.
4. Nyatakan kepada anak-anak anda bahawa yang perlu mereka takuti ialah Allah dan yang perlu mereka sayangi ialah Allah juga.
5. Terangkan kepada anak-anak anda bahawa kita seharusnya takut sekiranya allah marah kepada kita dan kita perlu sayangkan Allah kerana dialah yang menjaga kita lebih daripada ibu bapa menjaga mereka.
6. Selepas penerangan dibuat, dalam satu situasi lain, padamkan lampu Di ruang dimana anak-anak berada dengan sengaja.
7. Perhatikan reaksi anak-anak anda. Tenangkan mereka sekiranya mereka ketakutan dan terangkan semula kepada mereka supaya mereka berani menghadapi kegelapan.
8. Ingatkan kepada mereka berulang-ulang kali bahawa mereka tidak perlu takut kepada kegelapan tetapi hanya perlu takut kepada Allah.
9. Ajaklah anak-anak anda berdoa memohon perlindungan kepada Allah dan berzikir mengingati Allah untuk meneguhkan keyakinan mereka.

Ulasan:
Apabila anak-anak anda tidak takutkan kegelapan, biasanya kanak-kanak akan berimiginasi dengan perkara-perkara yang boleh mendatangkan ketakutan seperti membayangkan hantu, gangguan dan sebagainya. 

Di sinilah pentingnya peranan anda sebagai ibu bapa membetulkan konsep tanggapan mereka bahawa tidak ada apa yang perlu mereka takutkan melainkan Allah Taala. Begitu juga dengan kasih sayang, anak-anak perlu dididik sejak awal supaya mereka cepat matang dengan erti kasih sayang Allah yang sebenarnya.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah di Rumah 9: Kejujuran


Cadangan situasi:
Bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Alatan:
Biji benih kacang hijau yang telah direbus.



Cara-cara:
1. Sediakan segenggam biji benih kacang hijau yang telah direbus. Rahsiakan dari pengetahuan anak-anak anda bahawa ia telah direbus.
2.  Bahagikan biji benih-biji benih  kacang hijau itu kepada anak-anak anda secara sama rata.
3. Minta anak-anak anda semai biji benih-biji benih tersebut di halaman rumah  di tempat yang berasingan. Jika perlu, sediakan tapak semaian khas agar anak-anak anda mudah untuk menanamnya.
4. Beri tempoh selama seminggu untuk mereka melihat hasilnya dan katakana bahawa nada akan memberikan ganjaran sekiranya mereka oring menyemai benih kacang hijau tersebut. Simpan baki benih kacang hijau yang tidak direbus di tempat tertentu yang diketahui oleh anak anda.
5. Selepas satu minggu, lihat hasilnya. Jika tidak ada satu pun semaian di kalangan anak anda menjadi, berilah penghargaan atas sikap mereka kerana mereka telah bersikap jujur.
6. Terangkan kepada mereka biji benih yang telahy diberikan itu adalah yang telah direbus. Namun anda berbangga kerana tidak ada seorang pun menukar bniji benih yang telah diberikan.

Ulasan:
Kejujuran itu sangat penting dalam kehidupan. Nyatakan bahawa anak-anak anda pasti merasa kecewa dan hamper putus asa apabila melihat semaian yang diusahakan itu tidak menjadi. Namun terangkan kepada meraka bahawa di dalam kehidupan ini kita mesti bersikap jujur dengan diri sendiri apalagi dengan orang lain walaupun kadang-kadang ia mengecewakan.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah di Rumah 8: Masam Manis Kehidupan.





Cadangan situasi:
Sewaktu minum atau makan.

Alatan:
Air bancuhan gula.
Air bancuhan gula +perahan limau nipis.

Cara-cara.
1.  Labelkan  gelas yang berisi air bancuhan gula sebagai gelas A dan gelas yang berisi air limau sebagai gelas B.
2. Rahsiakan air apakah yang terkandung di dalam gelas tersebut.
3.  Minta anak anda rasa air dari gelas A. Tanya adakah air itu sedap. Tanyalah samada air itu sedap atau lebih sedap.
4.  Kemudian minta anak anda rasa air dari gelas B.
5. Nyatakan bahawa air dalam gelas B telah dimasukkan sedikit perahan limau yang masam. Minta dia merasakan sedikit perahan limau jika perlu.

Ulasan:
Air gula: perkara-perkara keseronokan dalam kehidupan
Perahan limau: perkara-perka yang menjadi cabaran dalam kehidupan.

Anak-anak akan menyukai air gula kerana manis. Namun,air gula bersama perahan limau itu adalah lebih sedap. Ketika anak anda merasakan perahan limau sahaja, ia tidak akan menyukainya kerana masam. Terangkan bahwa air gula itulah perkara-perkara yang menyeronokkan sedangkan air perahan limau itu ialah perkara-perkara yang susah dalam kehidupan.

Simpulkan kepadanya bahawa kehidupan ini tidak seronok sekiaranya tidak ada cabaran atau sedikit kesusahan. Ia penting untuk mengajar manusia untuk menjadi orang yang berguna.

Tanyakan kepada anak-anak anda apakah kesusahan yang pernah dialaminya. Sebagai contoh, anak anda mungkin pernah dimarahi oleh anda tetapi itu semua perlu supaya dia matang. Jika tidak pernah dimarahi dan sentiasa berada dalam keseronokan, dia akan lupa. Itulah pentingnya sedikit kesusahan kerana ia member pengajaran yang baik.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah di Rumah 7: Tabung Pahala

Cadangan situasi:
Setiap hari.

Alatan:
Duit


Cara-cara:
1. Pilih suatu masa yang sesuai seperti di hujung minggu untuk melaksanakan aktiviti ini.
2. Minta anak anda bantu anda melaksanakan 2 tugasan rutin seperti membersihkan rumah.
3. Salah satu tugasan itu anda beri upah dalam bentuk wang dengan kadar yang sesuai dengan tugasannya.
4. Sebagai contoh, minta anak membantu anda membersihkan ruang tamu sebagai tugasan pertama.
5. Bagi tugasan kedua, minta anak anda membantu anda mencuci kereta.
6. Bagi tugasan pertama, berikan ganjaran dalam bentuk wang kepadanya.
7.Cuba tanyakan adakah anak anda berpuas hati dengan hasil kerjanya yang diupah.
8. Bagaimana pula dengan hasil kerja yang tidak diupah.
9. Terangkan kepada anak-anak bahawa hasil kerja yang tidak diberi upah itu tetap ada ganjarannya di sisi Allah iaitu pahala.

Ulasan:
Nyatakan kepada anak anda bahawa setiap perlakuan baik manusia akan diberikan pahala. Beritahu anak anda bahawa sebenarnya dia telah menerima  sejumlah pahala dari Allah  Taala atas tugasan yang telah dilakukannya untuk membantu anda.

Tanyakan kepada anak anda mengapakah manusia memerlukan sejumlah wang dalam kehidupan. Biarkan dia berfikir.Setelah itu,jelaskankepadanya  bahawa wang itu digunakan untuk memiliki apa yang dikehendaki. Begitu juga dengan pahala, pahala itu amat penting untuk kita memiliki syurga.

Tanamkan kefahaman kepada anak anda bahawa penting untuk setiap manusia berusaha untuk memiliki syurga kerana manusia tidak akan hidup lama. Dunia tidak kekal. Maka dia perlu berusaha untuk mengumpul pahala.

Ajaklah anak anda berfikir tentang perbuatan-perbuatan yang membolehkannya mendapat pahala seperti melakukan solat, membantu ibu bapa, mengucapkan salam dan sebagainya.


Anda juga boleh mencipta satu jadual khas di atas kad manila atau membuat printable chart untuk membantu anak anda mencatat sebanyak mana tugasan yang telah dilakukannya beserta nilai ganjaran yang telah diperolehi daripada tugasan tersebut. Carta ini ditampal di dinding biliknya dan bantu anak anda memanfaatkannya setiap hari atau secara mingguan. Ini bertujuan mengekalkan motivasi anak anda supaya sentiasa melakukan kebaikan.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.



Tarbiyyah di Rumah 6: Rama-rama dan cita-cita.

Cadangan Situasi:
 Semasa bersiar-siar di taman atau tempat-tempat yang sesuai.
 Alatan:
Gambar ulat beluncas
Gambar rama-rama
(boleh menunjukkan ulat beluncas dan rama-rama hidup sekiranya terdapat di kawasan rumah anda)


Cara-cara:
1.     Tunjukkan kepada anak-anak anda seekor ulat beluncas/gambar.
2.     Tanyakan kepadanya serangga apakah itu.
3.     Tanyakan kepadanya adakah dia menyukai ulat.
4.     Tanyakan pula apakah binatang yang paling cantik.
5.     Perhatikan reaksinya ketika melihat ulat. (kebanyakan kanak-kanak geli dengan ulat)
6.     Jelaskan kepada anak anda bahawa ulat yang menggelikan dan hodoh itu akan bertukar menjadi rama-rama yang sangat cantik.
7.     Tanyakan  binatang apakah yang akan berubah bentuk fizikalnya apabila sudah dewasa.
(contoh: berudu-katak)
Ulasan:
Ajaklah anak anda berbincang tentang perubahan-perubahan yang dialami oleh serangga dan binatang yang telah difikirkan.  Simpulkan bahawa setiap kehidupan akan mengalami perubahan. Yang kecil akan jadi besar. Yang buruk boleh menjadi cantik, yang miskin boleh menjadi kaya dan sebagainya. Tetapi yang paling penting ialah perlu ada cita-cita. Katakan kepadanya bahawa cita-cita itu penting untuk berubah dan maju dalam kehidupan.
Kemudian, anda bolehlah mengajak anak berbincang tentang cita-citanya apabila sudah dewasa nanti. Setelah itu, ajaklah anak anda memikirkan perubahan apakah yang perlu dilakukan untuk mencapai cita-cita tersebut. Pesanlah kepada anak anda bahawa cita –cita yang paling murni ialah bukan sekadar  menjadi orang yang hebat di dunia, tetapi perlu menjadi orang yang hebat di akhirat juga.Selamat mencuba!
© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah di rumah 5: Kerusi dan Tukang Kayu


Cadangan situasi:
Semasa berehat di sekitar dapur atau di meja makan.
Alatan:
Kerusi kayu

Cara-Cara:
1.     Dapatkan sebuah kerusi kayu.
2.  Biarkan anak anda duduk dan merasakan permukaan kerusi tersebut.
3.  Tanyakan kepada anak anda tentang beberapa soalan seperti berikut:
- bagaimanakah kerusi itu boleh berada di rumah anda? (emak/bapa belikan)
- dimanakah kerusi ini boleh didapati? (kedai)
- siapakah yang mencipta kerusi ini? (tukang kayu)
- dari apakah kerusi ini dijadikan? (kayu)
- jika benar ia diperbuat dari kayu, dari manakah asalnya   kayu itu?(dari pokok)
- jika benar dari pokok, siapa pula yang mencipta pokok itu?- (ALLAH)

Ulasan:
Anda boleh membuat kesimpulan kepada anak-anak anda bahawa setiap benda yang terhasil di atas  dunia ini ada penciptanya. Ia tidak akan terjadi dengan sendirinya. Ajak anak anda berimiginasi mungkinkah sebatang pokok boleh menumbangkan dirinya dengan sendirinya, kemudian batang-batang pokok itu terpotong dan berproses dengan sendirinya  menjadi sebuah kerusi sepertimana di yang berada di hadapannya.  


Jelaskan kepada anak anda sekiranya manusia menyaksikan perkara itu terjadi di hadapan mata mereka, mereka akan jadi gila. Akal mereka tidak akan dapat menerima bahawa sesuatu itu boleh terjadi tanpa penciptanya. Pastilah yang mencipta kerusi tersebut adalah penciptanya, iaitu tukang kayu.


Begitulah juga manusia, penciptanya dirinya ialah Allah. Pesanlah kepada anak anda bahawa yang menjadikan dia lahir ke dunia bukanlah anda kerana kanak-kanak akan menganggap ibunyalah yang menjadikan dia. Katakan kepadanya, yang mahukan dia lahir ke dunia adalah Tuhan dia, Allah. Maka, bermula detik itu, ajarlah anak anda untuk sentiasa mengingati pencipta dirinya.
Selamat Mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Saturday, March 10, 2012

Tarbiyyah di Rumah 4: “Bila Nak Masuk Waktu Solat ni..”


Cadangan situasi
Bila-bila masa yang dirasakan sesuai

Alatan
Jam dinding


Cara-cara
1.  Ambil jam yang tergantung di dinding rumah.
2. Ajarkan kepadanya cara-cara memutar jarum minit dan jarum jam.
3. Beritahu kepadanya bahawa ada lima tempat jaram jam dan jarum minit apabila ia berhenti, akan terdengarlah azan dilaungakn dari masjid berdekatan atau televisyen pada setiap hari.
Anak-anak anda akan teruja kerana dapat mengetahui masa-masa azan akan dilaungkan. Ajarkan kepadanya masa-masa masuknya waktu solat bagi 5 waktu tersebut.
4. Biarkan anak-anak memutarkan sendiri jarum  jam tersebut.
5. Jika perlu, buat sedikit tanda pada nombor-nombor jam pada waktu solat tersebut agar anak anda ingat.
6. Jelaskan kepada anak anda apakah yang perlu dilakukan setelah mendengar azan.

Ulasan:
Aktiviti ini perlu sentiasa diulang dan dipantau. Bukan mudah bagi anak-anak yang  berumur sekitar 4 hingga 6 tahun untuk mengingati waktu-waktu ini jika tidak diulang-ulang. Biasakan anak-anak anda meniru perlakuan solat anda setiap kali anda mendirikan solat.

Selamat Mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.



Friday, March 9, 2012

Tarbiyyah di Rumah 3: Sebaik-baik Perhiasan

Cadangan Situasi
Semasa berkebun atau bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Alatan
Pokok bunga plastik.
Pokok bunga hidup

Cara-cara
1. Bawa anak-anak mendekati sebuah palsu yang terdapat pokok bunga  plastik yang berwarna warni dan cantik.
2. Minta anak-anak memetik sekuntum bunga hidup yang ditanam di luar rumah.
3. Letakkan bunga hidup di sisi pokok bunga plastik.

Tanyakan soalan-soalan berikut dan buat perbandingan dari sudut fizikal bunga-bungaan tersebut 
1. Pokok bunga manakah yang lebih  cantik? 
2. Pokok bunga manakah yang berbau wangi atau mempunyai madu (jika wangi/ mempunyai madu)?
Ulasan
Pokok bunga plastik   : Kecantikan yang membinasakan
Pokok bunga hidup     : Kecantikan hakiki (akhlak)

Jika anak-anak anda menjawab bahawa pokok bunga plastik itu lebih cantik dan berwarna-warni, nyatakan kepadanya bahawa kecantikan pokok bunga plastik itu bukanlah kecantikan sebenar. Kecantikan sebenar ialah seperti pokok bunga hidup.

Pokok bunga plastik diibaratkan seperti para perempuan-perempuan yang suka bersolek dan mendedahkan aurat mereka seperti artis-artis.

Pokok bunga hidup diibaratkan seperti wanita-wanita yang soleh yang tidak berhias secara berlebih-lebihan . Mereka menjaga akhlak walau dimana mereka berada. Merekalah seperti pokok-pokok bunga hidup yang wangi yang menjadi penyejuk mata dan hati.

Jadi, pesanlah kepada anak-anak anda supaya sentiasa mencontohi wanita-wanita solehah ibarat pokok bunga hidup yang wangi dan indah sebagai sebaik-baik perhiasan dunia.
Selamat  mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah Anak di Rumahmu 2: Mungkin Yang Pahit itu Kebaikan,dan Yang Manis Itu Memudaratkan.

Cadangan situasi
Semasa makan berhidang

Alatan
1.     Sayur peria yang dimasak
2.     Gula-gula




Cara-cara
1.     Tutup mata anak-anak dengan membalutnya di kepala dengan sehelai kain
2.     Suapkan gula-gula ke dalam mulut dan minta dia menelannya.
3.     Tanyakan apa yang dirasakan.
4.     Suapkan sedikit sayur peria ke dalam mulutnya dan minta dia merasakannya
5.     Tanyakan rasanya.
6.     Tanyakan makanan apakah yang telah dirasa sebentar tadi.
7.     Leraikan kain yang menutup mata dan tunjukkan kepadanya apa yang telah dirasakan.

Ulasan
Sayur peria : Perkara-perkara yang pahit dan sakit di dalam kehidupan
Gula-gula    : Perkara-perkara yang memudaratkan dalam kehidupan.

 Anak-anak akan menyatakan bahawa sayur peria yang dirasanya sangatlah pahit dan gula-gula yang menjadi kegemarannya adalah manis.

Namun, perlu dijelaskan bahawa peria yang pahit itu adalah ubat mujarab kepada pelbagai jenis penyakit kanak-kanak seperti kudis, cirit birit, asma dan lain-lain. Gula yang manis itulah penyebab kepada segala penyakit.

Begitulah juga dengan kehidupan. Ia berkait dengan kesusahan dan kesenangan yang dilaluinya. Tanyakan kepada anak-anak anda tentang pengalaman pahit yang pernah dirasakannya. Huraikan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik pengalaman pahit yang  memberi pengajaran kepadanya

Tanyakan pula tentang kesenangan yang memudaratkan dirinya seperti tabiat lalai kerana leka menonton televisyen. Kaitkan  kesenangan yang manis itu sepertimana memakan gula-gula tadi. Ia akan memudaratkan diri.

Jadi, pesanlah kepada anak-anak anda supaya tidak mengeluh ketika mengalami kesusahan kerana  ia juga adalah kebaikan dan berhati-hatilah dengan kesenangan kerana ia mungkin memudaratkan.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.


Thursday, March 8, 2012

Tarbiyyah Anak di Rumahmu 1: Gelas Ibarat Hati Nurani


Cadangan situasi
Semasa makan atau ketika anak-anak sedang membantu anda di dapur.

Alatan
1.     Sebiji gelas kosong
2.     Air

Cara-cara
1.     Tunjukkan sebuah gelas yang kosong kepada anak-anak.
2.     Tanyakan kepadanya apa yang dilihat.
3.     Tuangkan air di dalam gelas tersebut.
4.     Tanyakan apa yang sedang berlaku.
5.     Tuangkan air semuanya ke dalam sinki.
6.     Tanyakan semula apa yang dilihat.

Ulasan:
Gelas   : Hati Nurani
Air        : Perkara kebaikan
Udara  :Perkara Kejahatan

Anak-anak akan menyatakan bahawa gelas yang telah dikeluarkan air itu telah kosong. Kita bolehlah menerangkan bahawa masih ada sesuatu di dalam gelas itu iaitu UDARA. Ia akan sentiasa terisi dengan sesuatu

Begitulah juga sifat hati nurani manusia. Ia akan sentiasa terisi dengan sesuatu. Jika tidak dimasuki dengan perkara-perkara kebaikan, ia tadak akan terbiar kosong sahaja, tetapi ia akan dimasuki dengan perkara-perkara kejahatan.

Dengan sebab itulah kita perlu sentiasa menjaga hati kita dari dimasuki perkara kejahatan dengan selalu mengisinya dengan perkara kebaikan. 

Selamat mencuba!

© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)