Wednesday, September 9, 2009

Mujahidah di mata kakakmu.


" Wa maa tadri nafsum bi ayyi ardin tamut.. innallahu alimun khabir".. aku menghabiskan ayat terakhir hafazanku dari surah luqman.

Kuangkat kepalaku melihat reaksi Atieqah,housemateku yang sedari tadi tekun mendengar hafazanku.

"Macammana?" tanyaku mahukan respon pentasmiqku.

"Hm..akak kene jelaskan sebutan makhraj huruf. Tajwid ok dah, tapi laju sangat. Tak sempat nak dengar beza kalimat tu.."jelas Atieqah.

"hehe..."aku tersengih. " OK, mai nak dengar Atieqah baca pulak.

" Ish..taknaklah, nanti-nanti la bila saya dah bersedia". jawabnya.

Aku senyum sahaja... Aku bangun dari posisiku di dalam Balai Islam menuju ke satu sudut yang agak jauh dari muslimin. Aku duduk di hujung dekat tirai pembahagi antara muslimin dan muslimat.

"ha..baru selesa.." cetus hatiku.

Ku buka al-qur'an tafsirku dan mula mengulang-ulang bacaan Surah Maryam. Sudah menjadi rutin pelajar2 opsyen pendidikan Islam 2 menghabiskan masa di Balai Islam Al-Muttaqin. Sebab terbesarnya ialah kerana bilik kuliah sebenar mereka dipenuhi oleh pelajar2 Opsyen lain sejak ketiadaan mereka di IPG kerana berpraktikum di sekolah-sekolah luar.

Se'pulangnya mereka ke IPG, mereka terpaksa beralah kepada pelajar-pelajar lain yang telah ''cop tempat'. Tak apalah..biar ia jadi adab. lagipun Balai Islam Al-Muttaqin kan ada..lengkap dengan kemudahan LCD projektor dan sebagainya, apa salahnya belajar diruang itu walaupun ia adalah surau utama di IPG ini. Malah, lebih barakahnya membuat majlis ilmu di ruang manusia beribadah.

Pada aku, hikmahnya besar. Situasi ini lebih afdhal walaupun rakan-rakan muslimat mengaduh sakit-sakit badan kerana terpaksa duduk bertimpuh di atas lantai dalam tempoh yang lama. Tak apalah.. sebenarnya aku suka waqi' begini, seolah-olah berada pada zaman ilmuwan2 Islam terdahulu!

Semasa ralit mengulang-ulang bacaan, seorang sahabat yang ku panggil Ida menghampiriku. Duduknya sopan perlahan-lahan. Terus disandarkan bahunya ke bahuku.

" Akak, kenapa hafaz surah Maryam...kan ustaz suruh hafaz surah Nuh, surah Jin..., akak dah hafal ke..." tanyanya dengan nada manja ala merajuk. Mungkin kerana menyangkakan aku sudah menghafaz surah-surah dalam silibus madah Al-Qur'an tersebut tanpa menunggunya.

" eh..tak..belum lagi.. Tak sentuh apa-apa pun lagi surah Jin ke, surah Nuh ke.." aku tersenyum menjawab.

" Tipu.. dah tu kenapa akak hafaz surah Maryam?" Ida mahu penjelasan.

" Ida ida....pantang betul... takdelah...akak cuma nak biasakan dengan surah ni.em... Ida ingat tak akak pernah pesan dalam usrah lama dulu tentang 3 surah penting?"

Ida memuncungkan mulut.. "Hm.. tak ingat" surah apa akak? Kenapa penting?"

"ooo..tak ingat, nak kene ni.. Surah Luqman, Maryam dan Yusuf. Penting untuk dihafaz pada usia kita sekarang, sempena bakal-bakal pendidik, malah bakal-bakal ibu satu hari nanti"
aku menjawab, melihat reaksi Ida.

"Ha.. akak ni suka pikir jauh-jauh sangat. Lambat lagi la... Takpelah, akak hafazlah.Ida nanti takpe. Ikut akak lah, tapi yang pasti, bagitau Ida kalau nak stat hafaz surah Jin tau. Dah,Ida nak gi toilet ni" Ida menjawab ringkas. Lalu bangun menuju ke tirai sebelah tandas muslimat.

" Ok".. aku senuym membiarkan Ida pergi. Pergi dengan persepsi-persepsinya. Tak apalah..Dia masih muda.

Aku meneruskan bacaanku. sejam kemudian, mataku sudah berat, tekak terasa terlalu kering.
aku bangun menuju ke bahagian muslimat di sebalik tabir dengan niat untuk melelapkan mata sebentar. Di hujung tiang bulat, aku melihat Ida duduk berteleku memegang tafsir Al-Qur'an.Mungkin menghafaz surah Jin.Aku mendekatinya.

" Ida, akak nak lelap jap. Nanti ustaz datang Ida kejutkan akak ye"Aku berpesan kepadanya.

" Nak tidur ke. Meh tidur sini" Ida memandangku sambil menepuk-nepuk ribanya.Ida bersunggung-sungguh mengajakku tidur berbantalkan ribanya.

Aku tersenyum.

Aku mengesot ke arahnya lalu merebahkan kepalaku di ribanya. Telingaku ralit mendengar bacaan ayat-ayat Al Jin yang dibacanya sambil berfikir...

Mereka insan manja, perlu dididik dengan sabar dan penuh kasih sayang.. Maafkan akak atas teguran-teguran yang kasar. Akak hanya sayangkan antunna.. Dan akak harap suatu hari nanti, antunna akan faham ideologi mujahidah yang akak ingin lihat pada setiap diri antunna..

Dan aku pejamkan mataku, di ribaan 'adik' yang kusayang. Sayang kerana Allah.

Tuesday, September 8, 2009

Bicara Gerak Kerja Perjuangan Pendidikan.



Sepanjang sesi praktikum lepas yang baru sahaja tamat sebelum Ramadhan, aku bersyukur kerana dikurniakan kekuatan dan kelapangan dari emosi akibat tekanan tugasan praktikum yang begitu menggila. Syukur, kali ini aku belajar erti tenang dan tawakkal. Tidak ada perkara yang perlu dirisaukan seandainya usaha yang dicurah itu tingkatannya adalah ihsan dan konklusinya adalah tawakkal. Seandainya tidak mencapai seperti apa yang diharapkan setelah yakin mengamalkan ihsan,maka, mungkin sebenarnya hasil itulah yang terbaik buat diriku. dan jika hasilnya adalah seperti yang diharapan, maka segala kemenangan itu hanyalah milik Allah. Apa yang patut ada pada seorang hamba hanyalah- usaha.

Ketenangan membuahkan hikmah.

Alhamdulillah, Kem Bestari Anak Soleh ( KEBAS) yang kudamba untuk merealitikannya di sekolah-sekolah akhirnya ketemu hasil yang memuaskan. Setelah berlelah turun naik pejabat untuk meluluskan kertas kerja, meyakinkan pihak sekolah akan 'ideologi2ku' (bagi seorang guru praktikum, aku masih baru dalam lapangan pendidikan di landasan sebenar, maka penting bagiku mendapatkan kepercayaan pihak pentadbiran), berhadapan dengan masalah dalaman setiap panitia,dan mengkaji latar belakang pelajar dan sekolah, akhirnya aku bertemu hasilnya.




Hari terakhir KEBAS dalam satu slot penggulungan..

Kem Bestari Anak Soleh (KEBAS) berobjektifkan membentuk jatidiri matang anak soleh bertitik tolak dari kesedaran anak-anak pelajar tentang segala tanggungjawab. Kem ini mengumpulkan tenaga rakan-rakan praktikum Pendidikan Islam dari 4 buah sekolah termasuk tenaga guru KPLI. Menyedari keterbatasan diri untuk menggalas taklifan sebagai pengarah projek,maka sungguh aku berpuas hati atas kerjasama dari setiap tenaga dan setiap detik buah fikiran yang mereka lontarkan untuk manifestasi kebaikan bersama. Segala puji bagi Allah..

Sebenarnya, di sebalik pelaksanaan kem tersebut, aku punya agenda tersendiri. Mereka tidak menyedarinya , dan aku sendiri membiarkan eksperimen ini membuahkan hasil...sehinggalah hari semalam, aku dipanggilseorang sahabat untuk membincangkan program Kem Bestari Anak Soleh 2. Ternyata hipotesisku membuahkan keputusan yang positif. Alhamdulillah, rakan2ku telah nampak kepentingan mengadakan aktiviti2 tarbiyyah yang aktif di sekolah.

Beberapa orang dari kalangan rakan-rakan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang lain dan bekas-bekas tenaga Kem Bestari Anak Soleh 1 rupanya melukis perancangan baru untuk menjadikan ia satu projek tetap. Aku tersenyum. Itulah yang aku harapkan!
Rakan-rakanku telah merasai pengalaman menganjurkan program tarbiyyah itu, dan mereka mula berfikir, mula 'merisaukan ' masa depan generasi mereka sendiri! dan ia menjadi titik tolak pelaksaan gerak kerja Islam dengan penuh kesedaran dalam lapangan pendidikan.
Jika dulu, aku risau melihat bakal-bakal ustaz bertikam lidah mempertahankan isu-isu yang mereka sendiri tidak faham, melaungkan takbir atas dasar semangat perkauman, bakal2 ustazah pula masih leka membelek majalah-majalah fesyen, merisaukan tudung-tudung terkini yang belum dibeli untuk di 'matching' kan dengan baju, merisaukan jenis-jenis masakan yang perlu dicuba setiap hari, merisaukan pointer peperiksaan....sekarang, aku masih tidak berhenti risau. Perubahan yang dapat ku lihat masih terlalu sedikit. Tapi aku harus terus bersabar.. Kadang2 aku terasa begitu menyampah melayan karenah2 manja sesetengah anak melayu yang belum kenal erti susah dan korban ini, tapi aku berharap supaya Allah terus memberikanku kekuatan dan kesabaran dalam mendidik rakan-rakanku ini dengan kasih sayang..
Tetapi, kadang-kadang pendekatan 'syadid' yang terpaksa ku gunakan mengundang rasa tidak sedap hati di kalangan mereka. Maafkan aku sahabat, aku terpaksa. "Antum semakin menjadi-jadi bila dimanja, walau ana dibenci, pendekatan inilah yang merubah antum. Antum perlu sedar segera kerana beban taklifan yang besar akan antum pikul tak lama lagi. Kita semua tak mahu menanggung dosa".
"Dan seandainya antum sedar ana melakukan semua ini kerana sayangkan antum sampai ke syurga"
"Dan ana juga mahukan antum faham dengan baik tugas seorang pentarbiyyah anak-anak pelajar ini. Mentarbiyyah anak-anak pelajar bukan sekadar di dalam bilik darjah. Tidak perlu terikat dengan silibus terhad buku teks atau manhaj kerajaan. Ilmu di dada mesti cukup mantap bukan sekadar ilmu pada tahap yang perlu ada dalam minda anak-anak pelajar".

Kini alhamdulillah, walaupun kecil, inilah kesedaran yang mungkin mampu menjadi titik tolak kepada keterbukaan minda antum seterusnya. antum mula risau tentang taklifan kita. Inilah 'kerisauan' yang sepatutnya ada dalam setiap benak fikiran pendakwah, lebih-lebih lagi bagi guru-guru pendidikan Islam untuk melakukan gerak kerja Islam dalam lapangan ini. Sedih mengenangkan kualiti para Ustaz dan Ustazah di sekolah kini, ditambah pula panitia Pendidikan ISlam menjadi anak tiri kepada pihak pentadbiran sekolah pada majoriti sekolah-sekolah hari ini. Biasalah, kesilapan sistem pendidikan kita juga. Dan aku belum pasti sejauh manakah aku mampu membentuk paradigma 'guru pentarbiyyah' yang aku idam-idamkan..InsyaAllah..sikit-sikit lama-lama jadi gunung berapi.

Kecil-kecil cili api... 'Pedas' dengan curiosity, maka di tahap 'rebung' inilah ia menjadi tanggungjawab 'guru pentarbiyyah' (murabbi) untuk melenturnya.


InsyaAllah... pasakkan keyakinan.

Cuma kini, aku perlukan sokongan, kekuatan dalam meneruskan agenda ini..Mungkin perancanganku ini tidak tersenarai dalam mana-mana taqwim persatuan gerakan Islam di sekelilingku, tetapi aku masih mengharapkan ada jiwa-jiwa yang mampu memahami dan menyertaiku di sini..Ya Allah..permudahkan urusanku.

Ramadhan 18: Bicara Awlad

Entri kali ini dipetik dari laman saifulislam. Di celah kekalutanku menyiapkan ulasan buku Tarbiyyah Al Awlad tulisan Abdullah Nasih Ulwan , aku tertarik kepada salah satu sumber kajian di web saifulislam, iaitu pendekatan Abu Saif dalam mentarbiyyah anak-anaknya, maka entri ini rasanya rugi jika tidak dihayati bersama sahabat2..

Mari hayati..


“Ummiiii…. baliklah rumah!!!”, Saiful Islam menjerit di tingkap.

Hening tengah hari itu terganggu dengan jeritan anak sulung saya dari tingkap rumah kami di tingkat 11.

“Yop… jangan menjerit macam tu. Nanti orang marah”, saya menegah Saiful Islam dari perbuatannya.

“Ummi pergi mana?”, tanyanya kepada saya.

Tersentak hati saya.

Kalau dihitung jumlah hari, saya lebih banyak out station dan ghaib dari rumah berbanding Ummu Saif. Perginya saya juga ada kalanya jauh lebih lama. Jika saya mengisi jemputan program di luar negara, mahu sahaja lima hari ke seminggu saya tiada di rumah.
Tetapi mungkin ketiadaan bapa itu tidak seberat ketiadaan ibu. Naluri anak-anak…
Sudah masuk tiga malam Ummu Saif bekerja shif malam. Itulah mungkin punca anak-anak terasa kehilangannya. Walhal bukan tidak bertemu di kala siang.

‘KAUNSELING’

“Yop mari sini sekejap”, saya memanggilnya.

“Apa dia?”, tanya Saiful Islam.

“Yop ingat tak dulu Yop jatuh kerusi? Kepala Yop luka. Imad pun pernah sakit. Orang sakit pergi mana?”, saya mengingatkannya.

“Pergi hospital”, jawab Saiful Islam kepada saya.

“Siapa tolong orang sakit di hospital?”, saya menyambung soalan.

“Doktorlah. Macam Ummi”, balas anak saya ini.

“Betul! Hari ini ada orang sakit, ada orang jatuh kerusi, ada orang kena langgar kereta.
Semuanya pergi hospital. Ummi tengah tolong orang sakit”, saya menyudahkan jawapan.

“Ooo!”, Saiful Islam memuncung.



MEMBENCI KESIBUKAN IBU BAPA

Kesibukan ibu bapa bekerja itu ada baik dan ada buruknya. Tekanan ekonomi mendesak kita untuk bekerja keras, suami dan isteri. Malah adakalanya, bukanlah disebabkan oleh dorongan ekonomi, tetapi kerana tanggungjawab yang terpikul di bahu.

Namun tanpa sedar, si anak mungkin membenci pekerjaan ibu bapanya. Pekerjaan yang mencuri ibu bapa dari kehidupan mereka.

Bukan sahaja pekerjaan, malah perjuangan.

Saya tidak terkejut, anak-anak pendakwah membenci dakwah dan wadah dakwah ibu bapa mereka, kerana melihat perjuangan itu sebagai punca mereka terabai.

Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila ibu bapa dan anak-anak tidak berkongsi nilai yang sama. Apa yang dianggap berharga, penting dan berguna dalam perjuangan ibu bapa, tidak pernah dikongsi bersama anak-anak. Mungkin pemergian ibu atau bapa ke medan bakti, sama ada dakwah, atau pekerjaan biasa, dirumuskan secara mudah oleh anak-anak sebagai sibuk, sibuk dan sibuk.


TELADAN KISAH IBRAHIM DAN ISMAIL


Tetapi Nabi Ismail ‘alayhi al-salaam sebagai anak kepada seorang insan bernama Ibrahim ‘alayhi al-salaam, adalah di antara anak yang paling kerap dan lama ditinggalkan. Ayahandanya Ibrahim, bukan ‘out station’ sehari dua, malah bertahun-tahun lamanya. Sesekali pulang, Ibrahim tentu sahaja terlepas banyak hari, minggu, bulan malah tahun bersama-sama anaknya Ismail yang ditinggalkan di bumi Mekah.

Tetapi Ismail tidak pernah bermusuh dengan bapanya Ibrahim.
Lebih-lebih lagi, kepulangan Ibrahim pada suatu hari, membawa mesej yang maha berat. Mahu menyembelih anak kesayangan sendiri!

Apa kata Ismail?
Beliau (Ismail) menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar”. [Al-Shaafaat 37 : 102]
Saya ketiadaan formula untuk mengetahui apakah rahsia pendekatan yang digunakan oleh Hajar selaku watak utama yang mendidik Ismail sepemergian Ibrahim. Tetapi apa yang pasti ialah, mereka bertiga berkongsi nilai yang sama. Mereka sama anggapan terhadap apa yang berharga, berguna, bernilai dan berhak mendapatkan pengorbanan dalam hidup ini.

Maka salah satu intipati penting dalam didikan Hajar ketika membesarkan Ismail adalah pada menyuburkan nilai ini.

“Ayah keluar berjuang”, agaknya itulah kata Hajar kepada anaknya Ismail tatkala anak itu bertanyakan ayahnya.

Maka Ismail sentiasa melihat dirinya sebagai anak pejuang, dan Ibrahim pula adalah hero bagi Ismail kerana ayahnya itu seorang pejuang.


MEMUPUK, BUKAN MENGHASUT


Di sinilah peranan ibu dan bapa untuk tidak menjadi kanak-kanak di depan anak.
“Ayah kamu memang macam tu. Asyik kerja sahaja!”, kata si emak kepada anak yang bertanya.
“Mama kamu lebih pentingkan orang lain dari kita!”, ‘hasut’ si ayah kepada anak yang rindukan ibunya.


Apabila ayah atau ibu menghasut anak untuk turut marah, geram dan dendam kepada ibu dan ayahnya, ia adalah situasi yang lose-lose. Tiada siapa yang menang. Anak kecewa dengan ayah yang bekerja, di samping emak yang membenci ayah sama. Anak berduka dengan ibu yang bekerja, di samping ayah yang membenci ibunya.

Beritahulah sisi positif pekerjaan suami kepada si anak. Agar si anak melihat bapanya dengan pandangan yang tinggi. Jelaskan kepada anak, bahawa ibunya yang bekerja itu bukan sekadar bekerja, tetapi ada jasa dan bakti yang sedang diberi.


BERBALIK KEPADA DIRI

Tetapi semua itu berbalik semula kepada hukum alam, bahawa faaqid al-syai’ laa yu’theeh atau ’seseorang yang tidak memiliki sesuatu, tidak akan dapat memberikannya kepada orang lain’. Jika kita sendiri menganggap kerja tidak lebih dari sekadar cari duit, mana mungkin kita dapat memahamkan anak tentang nilai kerjaya kita bahawa ia lebih dari sekadar cari duit.
Jika kita sendiri melihat pekerjaan itu suatu perjuangan, amal bakti sebagai khalifah, mungkin si anak boleh berkongsi inspirasi yang sama.
Jangan sampai anak menawarkan wang untuk membeli masa anda untuknya!


ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

Monday, September 7, 2009

Bicara KETAATAN, KEREDHOAN..

Bicara KETAATAN dan KEREDHOAN ...


Artikel dibawah ialah artikel yang diposkan oleh sahabatku Kak Dib. Buat adik2 dan sahabat2 muslimah, renungkanlah.. Artikel ni berkaitan dengan tulisanku sebelum ini iaitu tentang BICARA KETAATAN .

Hayati kisah ini.....

Seorang lelaki telah berumahtangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, dia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan takziah.

Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: "Semoga tidak ada sesiapa pun dari kamu yang mengucapkan takziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kataku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..

Si suami meneruskan kata-katanya: "Demi Allah yang tiada Allah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana dia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga telah mendidik anak-anakku dengan sempurna.

Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi SAW.

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Sebelum meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata: "Wahai Allah, Aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah dia."
Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku.

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat kugambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang kurasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan takziah kepadaku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha kepadanya.. Semoga Allah menerima isteriku dengan keredhaan-Nya. "

MasyaAllah.. .alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami seperti ini.

Adakah anda mampu lakukan seperti yang dilakukan sang isteri terhadap suaminya sehingga pemergiannya diredhai dan membahagiakan suaminya.

Ramadhan 17: Bicara KETAATAN

TAAT. Di kepalaku masih berlegar-legar persoalan tentang taat. Siang tadi, kuliah Aqidah membahaskan tentang pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Sunnah, Syiah,Muktazilah, Khawarij,Jabariah, Qadariah, yang itu nanti dulu. Akalku hanya satu utk mendalami semuanya dalam satu masa. Benakku kini hanya tertumpu kpd persoalan 'ketaatan', salah satu dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mentaati pemimpin. Ustaz Ismail menguraikannya dengan panjang lebar, tetapi aku masih belum menemukan jawapan utk persoalan dalam diriku.
"Siapa pemimpin aku?"
1)Bagi sebuah ummah, Muhammad s.a.w adalah pemimpin ulung.
2)Bagi sebuah negara, kerajaannya yang menepati ciri-ciri pemimpin Islam adalah pemimpinnya.
3)Bagi sebuah masyarakat, ketua yang menepati ciri-ciri pemimpin Islam juga pemimpinnya.
4)Bagi sebuah keluarga,seorang bapa adalah pemimpinnya.
5)Bagi seorang isteri, suaminya adalah pemimpinnya.
Kemudian akalku berfokus kepada persoalan ke-5.
Bagi seorang isteri, suaminya adalah pemimpinnya.
Betapa tegasnya syariat menekankan aspek ketaatan, dan akalku yang senipis seurat rambut ini mengukir satu kesimpulan.
Tugas manusia ini hanya untuk Taat. Taat kepada Allah, taat kepada pemimpin, taat kepada suami..
Taatkan manusia bukan suatu perkara mudah, kerana masing2 dikurniakan akal dan punya cara fikir yang tersendiri. Akal itu kadang2 mencapai suatu titik persetujuan dan kadang2 menyebabkan perselisihan faham. Tatkala perselisihan tu berlakulah, hati bermujahadah mencipta sabar.
Maka tugas kaum hawa dalam 'bidang' ketaatan adalah lebih dari adam kerana seorang isteri wajib mentaati suaminya selagi tindakannya tidak menyalahi syariat.Lantas mengapa hawa hari
ini memilih bakal suami dengan membuta tuli sedangkan dia tidak menilai terlebih dahulu samada dia mampu MENTAATINYA SELURUHNYA kecuali pd perkara yang menyalahi syariat?
Pada tafsiranku, mentaati itu wajib,maka berusaha memilih pemimpin yang layak dan boleh ditaati itu penting.
Maksudku pemimpin yang LAYAK ditaati ialah seorang lelaki yang layak menjadi suami/pemimpin dan ia diukur dari sudut syariat.
Maksudku pemimpin yang BOLEH ditaati ialah seorang yang mampu ditaati seluruhnya mengikut syara' dan ia diukur dari sudut kemampuan diri hawa' itu. sbb itulah Islam mengajurkan mencari yang sekufu..supaya mudah dan redho si hawa mentaatinya dengan rela hati dan penuh syukur.
Mengapa dan mengapa masih ramai manusia yang lalai dari menilai keperluan diri dalam hal-hal begini. Kegagalan si hawa menilai diri dan berhati-hati dalam pemilihan inilah punca punahnya 'baiti jannati' yang pernah menjadi azam suatu masa dulu, kerana hilangnya keyakinan terhadap suaminya, maka "wala'" terhadap suami gugur satu persatu dan akhirnya ketaatan itu tiada lagi.
Walaubagaimanapun, ini hanya satu skop kecil kehidupan . Walaupun kecil, ia tidak boleh diremehkan dalam pembinaan keluarga muslim yang menjadi cita-cita insan2 yang bekerja untuk Islam,
Semoga Allah memelihara diri dan sahabat2ku dari segala tipu daya, menjauhkanku dan sahabat2ku dari segala kekeliruan.

Tuesday, August 25, 2009

Ramadhan 3

Sepatutnya artikel ni ditulis pada 3 Ramadhan..berdasarkan apa yang aku dapat dari kuliah subuh Masjid Taman Sejati...tapi aku publish pada hari ni..4 Ramadhan.

Diceritakan Rasululullah S.A.W mengucapkan kalimah 'aameen' 3 kali berturut-turut setiap kali menjejakkan kaki pada 3 anak tangga mimbar sewaktu hendak menyampaikan khutbah..

Para sahabat merasa pelik, lantas setelah khutbah berakhir, para sahabat mendekati Rasulullah s.a.w lalu bertanyakan hal tersebut.

Rasulullah s.a.w menjawab bahawa malaikat Jibril datang kepadanya dan menyatakan laknatnya kepada 3 golongan.

Golongan 1: laknat kepada orang yang dianugerahkan bulan Ramadhan padanya tapi dia tidak beroleh keampunan Allah walau sedikitpun darinya. ( Maka, Rasulullah s.a.w mengaminkan)

Golongan 2: laknat kepada orang yang apabila menyebut nama Rasulullullah s.a.w, dia tidak berselawat ke atas nabi. (Maka, Rasulullullah s.a.w mengaminkan)

Golongan 3: laknat kepada orang yang semasa hayatnya ada ibu bapa,tetapi ibu bapanya tidak boleh jadi penyebab kepadanya utk masuk syurga.. Maknanya, dia mengabaikan kedua orang tuanya...( Maka, Rasulullah s.a.w mengaminkannya)...


Kesimpulannya: Marilah kita refleksi diri dalam tiga perkara ini...
1) Mohon mahgfirah di bulan yang barokah ini...jalani puasa sebaik-baiknya...Ingat bahawa dalam bulan ramadhan ni, di awalnya rahmat Allah, di tengahnya maghfirah, di akhirnya kebebasan dari api neraka...

2) Selalu berselawat keatas nabi.. Bakhil benar orang yang tak berselawat keatas nabi bila disebut namanya..Selawat pula biarlah selalu.. Sekali kita berselawat keatas nabi, Allah berselawat keatas kita 10 kali..

3) Jangan abaikan mak ayah.. Ingat semula cerita al maklum Alqamah, bagaimana susahnya dia menghembus nafas terakhir natijah ibunya yang terguris hatinya mengenangkan sikap anaknya yang mengabaikan dia, walaupun Alqamah adalah seorang yang dikenali sbg a'bid. Berjuang macammana pun kita, kalau terpaksa berhelah, biar bertempat..jangan helah dijadikan alasan utk buat sikap ambil mudah kepada mak ayah kita..bukan apa, takut2 apa yang kita anggap keyakinan itu sebenarnya pembocor amalan jer...fikir2kanlah..


kalau ada silap salah, tolong tegur terus di ruangan komen. Semoga kita semua beroleh manfaat..wallahua'lam.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan 2

Hari ini 2 Ramadhan.

Aku usai menatap jadual kuliah Masjid Abu Bakar As Siddiq. Semua tajuk kuliahnya menarik. Sayangnya aku hanya sempat di rumah sekitar minggu ini. Tak apalah..ambil yang mana sempat ja.. Entah sempat entah tidak, nak kejar kerja2 'blakang Masjid Batu' lagi.. apapun..milik Allah lah waktu2nya itu..semoga diberi kesempatan dalam segala hal yang awla..Dan smoga Islam menang di Permatang Pasir.

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan kunjung lagi

Ramadhan kunjung lagi. Hadirnya adalah tafsiran gamitan iman yang meronta meminta hati disucikan dengan air mata taubat.. subhanallah.. Hadirnya adalah kunci keinsafan, taubat dan titik permulaan. Terlalu banyak jasad dan ruh ini lalui, baik di alam mimpi mahupun nyata, segalanya memberi kesan dan tafsirannya yang tersendiri terhadap rencana hidup. Namun, Allah Maha berkuasa atas tiap sesuatu.. Dan hari ini ,di pagi 1 ramadhan yang bening..bermulah detik itu, moga diri sentiasa jujur dan setia menghitung waktu2 yang tersimpan atau berbaki.. InsyaAllah. Kuatkan kemahuan dan azam, mohon hidayah Ilahi..

Wednesday, June 17, 2009

Realiti Cabaran Budaya Keilmuan di Malaysia: Suatu Analisis dari Metafizika Al Attas

Setelah meneliti beberapa tulisan fundamentalis kelahiran Bogor Syed Muhammad Naquib Al Attas dan anak-anak buah fikir rausyanfikir, terdapat beberapa jalan yang dikenalpasti dapat dikonklusikan dalam ruangan ini.



Sebelum menerjah ke akar umbi perbincangan, eloklah kiranya saya menyentuh tentang realiti kelemahan dan kebangkitan penyelidikan pengajian Islam yang dikenalpasti.



Lemah atau bangkitnya sesuatu umat itu termasuk dalam fasa diskusi yang pertama iaitu, tentang tamadun. Dalam konsep ini, jatuh dan bangunnya sesuatu tamadun intelektual dan material manusia bergantung sepenuhnya kepada amalan budaya ilmu yang diamalkan oleh masyarakat terbabit. Adaptasi hal ini kepada amalan penghayatan cara hidup Islam adalah dengan cara yang sama, iaitu jatuh bangunnya budaya ilmu dan penghayatan Islam sepenuhnya bergantung kepada amalan para umatnya.




Pada zaman keunggulan tamadun Islam, umat Islam dikesan mengamalkan budaya ilmu yang agak tinggi. Ia merujuk kpd beberapa perkara iaitu:




1) Tindakan menjadikan pencarian ilmu sebagai satu usaha yang berharga nilainya seperti pencarian harta sehingga ia dianggap sebagai matlamat hidup yang utama.




2) Usaha dalam suatu tindakan yang diputuskan dengan perkiraan ilmu tanpa campurtangan dari golongan yang memiliki kepentingan politik. Keadaan ini menyebabkan seseorang ulama’ itu dapat bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.




3) Bersikap terbuka dengan semua jenis ilmu tanpa mengira asal usul dan jenisnya




4) Analisis kritikal yang dilakukan terhadap ilmu tanpa adanya sifat fanatik kepada seseorang guru. Sikap ini jelas terhasilnya kegiatan dialog intelektual yang diiringi dengan penyelidikan yang begitu giat dijalankan sehingga melahirkan sejumlah besar karya-karya sistesis yang bermutu yang kekal penggunannya sehingga pada masa sekarang.




Bentuk penghayatan yang dimalkan dalam masyarakat terdahulu itu ialah rata-ratanya berpegang kepada world-view dan paradigma Islam sejati sepertimana yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w menggantikan paradigma jahiliah.




Kegemilangan tamadun ni sayangnya tidak kekal lama. Ia berpunca dari sikap kelalaian umat Islam itu sendiri. Kelalaian yang dimaksudkan ialah lalai daripada berpegang kepada kedua-dua sumber agung Islam tersebut. Sikap bertaqlid umat mengakibatkan kemunduran intelektual dan kejatuhan kekuasaan politik umat yang dijajah oleh kuasa penjajah barat.




Era 1960an hingga 1980an mencatatkan satu kebangkitan baru dr reformis Islam dr pelbagai pelusuk dunia. Rata-rata kebangkitan Islam ini mempunyai intipati pergerakan yang sama iaitu:

1) Usaha menghidupkan Islam sebagai ad-Deen menggantikan perspektif secular yang membataskan agama kepada persoalan keagamaan semata-mata.




2) Kritikan terhadap kelemahan umat Islam yang dikatakan berpunca daripada penerimaan membuta tuli terhadap warisan tinggalan barat.




3) Kritikan sendiri(self criticism) terhadap kelemahan ummah yang berpunca dari tindakan meninggalkan ajaran Islam dan mengamalkan budaya Taqlid.




Berasaskan ketiga-tiga intipati ini,suatu kesedaran telah timbul untuk menghidupkan pengamalan Islam bukan setakat membuat peningkatan semangat yang berkobar-kobar, bahkan turut membabitkan usha menghidupkan budaya Ilmu di kalangan umat Islam.




Dua bentuk kesedaran yang dikenalpasti ialah:

1) Usaha pembetulan yang perlu dibuat terhadap segala kekeliruan yang dinisbahkan kepada Islam oleh sarjana barat.




2) Usaha pembentukan falsafah, misi dan kaedah penyelidikan Islam menggantikan pendekatan silam yang dikatan agak mundur mengakibatkan kelemahan intelektual dan politik melanda umat Islam.




Dalam usaha ini, beberapa orang sarjana Melayu post kemerdekaan telah melakukan beberapa ‘review’ dan pebetulan. 3 buah universiti terlibat adalam usaha reformasi memperbaiki kelemahan ini iaitu UM,UKM dan UIAM.




Misi yang dialankan adalah berobjektifkan perkara2 berikut:

1) Menunjukkan Islam sebagai relevan dan mampu menyediakan jawapan terbaik untuk permasalahan manusia di zaman moden.



2) Memeperbetulkan segala nisbah keburukan yang dikatkan kepada Islam.



3) Menunjukkan kelemahan dan epincangan yang dimiliki oleh tradiri keilmuan barat.



4) Mengaitkan dan menghubungkan pengajian keilmuan Islam dengan keilmuan moden.




Hasilnya , kesedaran ini telah melahirkan gagasan > Islamization of Knowledge< Islamisasi Ilmu.

Gagasan ini menetapkan sebarang gerakan keilmuan Islam moden perlu melalui 12 cara utama:



1) Menguasai disiplin ilmu moden (barat)

2) Kajian mendalam terhadap sesuatudisiplin barat.

3) Mengusai warisan ilmu Islam

4) Analisis warisan ilmu Islam

5) Mengemukakan kaitan Islam kepada sesuatu disiplin moden

6) Penilaian terhadap disiplin ilmu moden

7) Penilaian terhadap warisan ilmu Islam

8) Kajian terhadap masalah ummah

9) Kajian terhadap masalah manusia sejagat

10) Analisis dan sistesis terhadap kedua-dua disiplin moden dan Islam

11) Penulisan buku teks/ mana2 rujuka utama yang mengandungi disiplin ilmu

12) Menyebarluaskan ilmu yang telah diIslamkan.


Cara melaksanakannya ialah dengan membuktikan kepsempurnaan syariah terlebih dahulu. Hal ini oleh dikatakan agak mendesak memandangkan syariah Islam kerap dijadikan tohmahan buruk dan bayak nisbah negative yang dilemparkan oleh dunia akademik barat, yang kemudiannya telah mempengaruhi sebahagian besar penganut Islam sendiri. Pembetulan terhadap tohmahan buruk ini mengikut penegasan al-Qur’an, wajib dijalankan dengan penuh ketabahan dan ketelitian oleh sarjana Islam.





Pada peringkat mikronya, seseorang sarjana Islam perlu meneliti dan menjawab segala tohmahan buruk yang dikenakan kepada syariah Islam dengan menggunakan taktik sama yang digunakan oleh musuh Islam, dengan pendekatan yang bersifat terbuka dan mempunyai nilai akademik yang tinggi. Manakala pada peringkat makronya, seseorang sarjana Islam perlu menjelaskan dengan terperinci kemampuan mekanisme penyelidikan terkini dan mandiri yang tersirat dan tersurat di dalam syariah Islam, di dalam menyediakan jawapan yang bersifat semasa terhadap sebarang permasalahan umat manusia.





Apa yang jelas ialah kita telah disedarkan oleh fakta sejarah yang menunjukkan umat Islam yang menerima budaya taqlid ini telah menyebabkan kelesuan sistem fiqh yang sedang berhadapan dengan proses pemodenan. Dalam kurikulum pengajian keilmuan Islam sepertimana yang telah kita pelajari di sekolah rendah dan menengah dulu atau kurikulum semasa yang sedang ditelaah anak-anak masa kini pun, atau di peringkat pengajian tinggi sekalipun, subjek Islam itu telah dianggap sebagai pelajran sejarah perundangan Islam semata-mata yang bukan lagi mampu menangani situasi semasa. Fiqh sudah lama dibiarkan beku dan statik, dan ini telah menyebabkan banyak persoalan hidup masyarakat tidak menepati kehendak syara’ yang sebenar...




Apa yang boleh dilakukan oleh seorang pengkaji masa kini dalam menyambut seruan gagasan ''Islamization of knowledge''? Apa yang boleh kita buat dalam m'bantu mengimarahkan tradisi keilmuan dalam makna kata yang sebenar?

Ulasannya dalam post akan datang....................................bersambung.

Hanisah Wanasan,
Sg, Petani.




Tuesday, June 9, 2009

STIKER TEMAN DAKWAH

Minggu lepas aku balik ke kampung untuk ziarah perkembangan walimah sahabat. Oleh kerana kereta kancilku KCC1764 sedang berehat-rehat di kampusku Kuala Terengganu, aku pinjam hilux KCE6242 ayahku meredah perjalanan ke Kupang, Baling yang agak memakan masa.
Sebelum bertolak, aku lekatkan stiker dengan slogan "Save Palestin" dan 'Islam Untuk Semua' di cermin belakang dan depan yang ku simpan khas utk kes2 mcmni. Sudah menjadi tabiatku,takkan ku pergi ke suatu tempat tanpa agenda sampingan sekiranya tindakanku itu tidak begitu menuju sasaran.

Mak dan jiran selalu kata..kamu tu cikgu, hati-hati sikit. Aku senyum saja.Nak dengar penjelasan kena buka powerpoint presentation 200 slide. Suatu hari aku terbaca suatu entri sahabat ni.. Cukup untuk explain kenapa aku setia dengan stiker walaupun bukan keretaku yang dipandu..

Katanya, stiker adalah teman dakwah kita. Betul! Cuba hayati:


"Saya ada satu perkara untuk diceritakan. Bahkan perkara ini telah lama tersimpan dalam hidup saya. Tapi kini saya ingin menaip serta berkongsi manfaatnya. Merenung sesuatu adalah keperluan kita sebagai pendakwah dan penggerak Islam. Renung, fikir, buat kesimpulan, bercakap. Bila tiada yang mendengar…jalan lagi, dan renung semula.



Dalam hidup seseorang, stiker kereta mungkin hanya hiasan, oleh-oleh yang dibeli semasa ceramah agama atau politik, diberikan secara percuma atau hanya dilekat kerana menyertai perniagaan MLM. Sikap saya, cukup memilih untuk melekatkan sesuatu di cermin kereta saya.



Di belakang kereta saya terlekat stiker 'Mansuh ISA', stiker 'ALLAH SAVE PALESTINE' serta stiker 'I Love Rasulullah'. Stiker 'Allah Save Palestine' dibeli semasa saya pergi ke Himpunan JIM di USM Transkrian tahun lepas. Stiker 'I Love Rasulullah' saya beli selepas mendengar ceramah PAS di Stadium Bota Kanan, Perak. Stiker 'Mansuhkan ISA' saya beli semasa Bengkel Human Right anjuran SUARAM dan GMI di Kompleks Masyarakat Penyayang, Pulau Pinang.



Stiker banyak mengundang persepsi kepada sesiapa yang memerhatikan kereta kita. Pandangan umum dan kebanyakan adalah, kita ekstrim, mengada-ngada, tunjuk sangat berjuang, atau radikal. Malah ada yang melulu menuduh, masa depan kita tiada kerana kita akan dicop sebagai pembangkang, terlalu menunjuk-nunjuk atau lebih malang ada yang berkata, ' benda-benda macam ni simpan ja lah..malas nak tunjuk'. Sikap pesimis, apologatik, rendah diri, rendah jati diri menyebabkan ramai gagal berjuang mengekalkan stiker kereta bercorak agama. Bukan stiker kita maki hamun sesiapa. Kita cuma tampilkan nama Allah, izzah dan gembira kerana bergelar pengikut Rasulullah, serta hanya sekelumit mencebik akta zalim ISA ! Itu sahaja. Lebih menakutkan jika kita tergolong dalam golongan yang tunduk dengan plan tindakan umum sekularis, kristianisasi dan corakan tangan-tangan yahudi yang inginkan kita takut dan malu menampilkan nama Allah waima di cermin kereta kita sekalipun.



Ada seorang berkata kepada saya " Pak cik lebih lama kenal PAS dari kamu, tak tunjuk pun stiker-stiker Allah ke, Jihad ke….yang ISA tu..nak tunjuk apa sangat. Kita nak bantah pun tunjuk la neutral". Itu pandangan seseorang. Saya diam. Tapi saya ada pandangan juga.



Dahulu semasa mengajar di sebuah sekolah agama swasta, ada menasihati saya "Tak bagus, tunjuk sangat stiker-stiker tu, mana tahu ada ibu bapa yang UMNO, anti Islam." Saya tak berkata apa-apa.



Kemudian ada juga yang berkata, "Jika kamu dapat kerja kerajaan nanti, jadi guru KPLI ke, dapat JPA ke, jangan lah pakai stiker-stiker ni, nanti kena tindakan disiplin atau tak lulus temuduga." Saya diam.



Kemudian ada berkata, "Jangan lah pakai stiker-stiker ni bila balik kampung kami…sebab nanti keluarga kami anggap kami ekstrim." Saya diam juga.



Bila di kilang kejadian yang sama berulang, sebuah syarikat swasta, tiada kaitan dengan kerajaan, tiada kaitan dengan biasiswa, saya jadi agak berang. Saya pernah berkata " Adakah stiker-stiker ini dibuat untuk aku dan kamu tampal di liang lahat atau perhiasan keranda nanti?" Ayat nampak kasar….tapi saya cakap banyak itu sahaja.



Di kilang saya parking kereta berdekatan dengan pengurus bukan Islam. Mereka juga baca. Tiada yang komen atau hina saya. Malah saya diberi peluang naik pangkat. Jadi stiker tak halang rezeki saya.



Stiker itu adalah saksi di akhirat nanti. Stiker itu sahabat saya.



Bila saya beli, saya tampal stiker dengan Bismillah. Saya harap di hati, stiker akan jadi kawan saya.



Saya menulis, tapi tidak pernah sesiapa terbitkan buku saya, malah dakwah saya dalam menulis amat terbatas. Masih sedikit yang saya mampu menulis kerana keterbatasan ilmu dan sebaran bahan penulisan saya.



Saya ada juga berceramah, tetapi bukan tersohor. Hanya 2-3 orang sahaja mungkin sudi mendengar sekelumit ilmu dan pandangan saya.



Saya mungkin menyebar risalah di tempat awam, tetapi bukan beribu-ribu. Saya ada menaip sendiri risalah tapi masih belum cukup berkesan.



Saya menyertai jamaah dan gerakan Islam serta NGO-NGO. Tetapi saya bukan pemimpin hebat yang boleh mempengaruhi sasaran dakwah. Saya hanya ahli biasa. Bukan mujahid…



Saya tiada isteri untuk membantu, tiada anak untuk menyokong, tiada anak usrah, tiada anak didik walau seorang. Jadi semasa saya menampal stiker, saya bercakap, stiker ini akan terus bercakap tentang ISA, bercakap tentang Rasulullah, bercakap tentang Palestin semasa saya tidur. Saya manusia biasa, tak boleh berdakwah 24 jam. Saya tak sekuat pimpinan jamaah saya. Apa salahnya stiker ini membantu saya.



Saya hanya ada sebuah kereta kancil yang saya panggil 'suzy'. Di belakang suzy ada stiker tentang perjuangan dan agama. Stiker itu tidak pernah letih. Bila saya parking kereta di kilang, ramai pekerja India dan Melayu yang mungkin jarang atau tidak pernah berzikir mungkin akan lalu di belakang kereta saya. Mereka akan membaca' I Love Rasulullah'. Rasulullah adalah kalimah arab. Kalimah itu adalah zikir dan selawat, malahan menjadi ingatan kita kepada Nabi. Alangkah bahagianya saya jika impian saya tercapai iaitu sehari seorang berjaya menyebut Rasulullah hanya disebabkan belakang Suzy ada stiker Rasulullah.



Ramai lupa isu Palestin. Sekurangnya stiker itu ada tazkirahnya. Dia selalu ingatkan saya dan semua orang bahawa hanya Allah yang mampu selamatkan Palestin bukannya kamu, saya atau HAMAS sekalipun. Stiker ISA pula akan beri peringatan bahawa di dalam penjara ISA, ada orang yang Aaaamaaaat rindukan isterinya, anaknya dan saudaranya. Mereka letih, sedih, kuyu hati dan raga. Mengeluh dan menunggu bagai gila. Saya di rumah makan cukup. Gaji ada. Tidur lena. Tiada SB ugut saya. Jadi saya lekat dipenjuru cermin kereta MANSUHKAN ISA. Stiker itu ingatkan saya bahawa saya cukup nikmat. Stiker itu 'mungkin' akan menghalang mangsa ISA menyalahkan saya yang bersenang lenang di rumah apabila bertemu di akhirat nanti !



Mungkin stiker bantu kita hapuskan dosa silam….



Ada bertanya apabila berusrah, bercakap isu zaadun a'la toriq, saya jawab stiker juga bekalan dakwah..



Pada saya, tampal sahaja stiker Islam, jihad, dakwah. JPA juga manusia, sekolah kerajaan pun manusia, kilang pun manusia. Jika saya tidak tampal stiker pun saya mati. Jika saya tampal stiker pun mati. Lebih baik saya mati selepas stiker ditampal dengan penuh amanah….



Ini hanya pandangan hati saya. Dah lama fikir begini. Jika ada yang berfikiran lain….saya tak pernah halang."



Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha Teras Perak

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)