Friday, March 9, 2012

Tarbiyyah di Rumah 3: Sebaik-baik Perhiasan

Cadangan Situasi
Semasa berkebun atau bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Alatan
Pokok bunga plastik.
Pokok bunga hidup

Cara-cara
1. Bawa anak-anak mendekati sebuah palsu yang terdapat pokok bunga  plastik yang berwarna warni dan cantik.
2. Minta anak-anak memetik sekuntum bunga hidup yang ditanam di luar rumah.
3. Letakkan bunga hidup di sisi pokok bunga plastik.

Tanyakan soalan-soalan berikut dan buat perbandingan dari sudut fizikal bunga-bungaan tersebut 
1. Pokok bunga manakah yang lebih  cantik? 
2. Pokok bunga manakah yang berbau wangi atau mempunyai madu (jika wangi/ mempunyai madu)?
Ulasan
Pokok bunga plastik   : Kecantikan yang membinasakan
Pokok bunga hidup     : Kecantikan hakiki (akhlak)

Jika anak-anak anda menjawab bahawa pokok bunga plastik itu lebih cantik dan berwarna-warni, nyatakan kepadanya bahawa kecantikan pokok bunga plastik itu bukanlah kecantikan sebenar. Kecantikan sebenar ialah seperti pokok bunga hidup.

Pokok bunga plastik diibaratkan seperti para perempuan-perempuan yang suka bersolek dan mendedahkan aurat mereka seperti artis-artis.

Pokok bunga hidup diibaratkan seperti wanita-wanita yang soleh yang tidak berhias secara berlebih-lebihan . Mereka menjaga akhlak walau dimana mereka berada. Merekalah seperti pokok-pokok bunga hidup yang wangi yang menjadi penyejuk mata dan hati.

Jadi, pesanlah kepada anak-anak anda supaya sentiasa mencontohi wanita-wanita solehah ibarat pokok bunga hidup yang wangi dan indah sebagai sebaik-baik perhiasan dunia.
Selamat  mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Tarbiyyah Anak di Rumahmu 2: Mungkin Yang Pahit itu Kebaikan,dan Yang Manis Itu Memudaratkan.

Cadangan situasi
Semasa makan berhidang

Alatan
1.     Sayur peria yang dimasak
2.     Gula-gula




Cara-cara
1.     Tutup mata anak-anak dengan membalutnya di kepala dengan sehelai kain
2.     Suapkan gula-gula ke dalam mulut dan minta dia menelannya.
3.     Tanyakan apa yang dirasakan.
4.     Suapkan sedikit sayur peria ke dalam mulutnya dan minta dia merasakannya
5.     Tanyakan rasanya.
6.     Tanyakan makanan apakah yang telah dirasa sebentar tadi.
7.     Leraikan kain yang menutup mata dan tunjukkan kepadanya apa yang telah dirasakan.

Ulasan
Sayur peria : Perkara-perkara yang pahit dan sakit di dalam kehidupan
Gula-gula    : Perkara-perkara yang memudaratkan dalam kehidupan.

 Anak-anak akan menyatakan bahawa sayur peria yang dirasanya sangatlah pahit dan gula-gula yang menjadi kegemarannya adalah manis.

Namun, perlu dijelaskan bahawa peria yang pahit itu adalah ubat mujarab kepada pelbagai jenis penyakit kanak-kanak seperti kudis, cirit birit, asma dan lain-lain. Gula yang manis itulah penyebab kepada segala penyakit.

Begitulah juga dengan kehidupan. Ia berkait dengan kesusahan dan kesenangan yang dilaluinya. Tanyakan kepada anak-anak anda tentang pengalaman pahit yang pernah dirasakannya. Huraikan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik pengalaman pahit yang  memberi pengajaran kepadanya

Tanyakan pula tentang kesenangan yang memudaratkan dirinya seperti tabiat lalai kerana leka menonton televisyen. Kaitkan  kesenangan yang manis itu sepertimana memakan gula-gula tadi. Ia akan memudaratkan diri.

Jadi, pesanlah kepada anak-anak anda supaya tidak mengeluh ketika mengalami kesusahan kerana  ia juga adalah kebaikan dan berhati-hatilah dengan kesenangan kerana ia mungkin memudaratkan.
Selamat mencuba!


© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.


Thursday, March 8, 2012

Tarbiyyah Anak di Rumahmu 1: Gelas Ibarat Hati Nurani


Cadangan situasi
Semasa makan atau ketika anak-anak sedang membantu anda di dapur.

Alatan
1.     Sebiji gelas kosong
2.     Air

Cara-cara
1.     Tunjukkan sebuah gelas yang kosong kepada anak-anak.
2.     Tanyakan kepadanya apa yang dilihat.
3.     Tuangkan air di dalam gelas tersebut.
4.     Tanyakan apa yang sedang berlaku.
5.     Tuangkan air semuanya ke dalam sinki.
6.     Tanyakan semula apa yang dilihat.

Ulasan:
Gelas   : Hati Nurani
Air        : Perkara kebaikan
Udara  :Perkara Kejahatan

Anak-anak akan menyatakan bahawa gelas yang telah dikeluarkan air itu telah kosong. Kita bolehlah menerangkan bahawa masih ada sesuatu di dalam gelas itu iaitu UDARA. Ia akan sentiasa terisi dengan sesuatu

Begitulah juga sifat hati nurani manusia. Ia akan sentiasa terisi dengan sesuatu. Jika tidak dimasuki dengan perkara-perkara kebaikan, ia tadak akan terbiar kosong sahaja, tetapi ia akan dimasuki dengan perkara-perkara kejahatan.

Dengan sebab itulah kita perlu sentiasa menjaga hati kita dari dimasuki perkara kejahatan dengan selalu mengisinya dengan perkara kebaikan. 

Selamat mencuba!

© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.

Intro: Tarbiyyah anak Di Rumahmu!!




Suatu Hari setelah selesai solat berjemaah, seorang bapa meminta anaknya, Yop yang berumur 9 tahun berdoa usai solat berjemaah.
 
Berdoalah Sang Anak..

 “Bismillahirrahmanirrahim..
Ya Allah, Yop minta ampun. Yop minta maaf. Yop banyak buat salah. Ampunkan kesalahan Yop, ibu dan bapa Yop, adik-adik Yop, cikgu-cikgu Yop, kawan-kawan Yop dan saudara mara Yop. Tolonglah supaya Yop, Naurah dan Imad boleh jadi anak yang baik, rajin, suka membantu Abi dan Umi. Tolonglah Yop supaya Yop jangan suka tengok tv. Bagi Yop suka belajar dan baca buku. Bagilah kebaikan di dunia dan di Akhirat. Masukkan kami semua ke dalam Syurga dan jauhkan kami dari Neraka. Ameen!”

Tulus doanya, mengalir airmata Sang ayah dan ibunya. Sejuk hati Sang Ayah dan ibu.
Sumber  petikan: www.saifulislam.com


Salam sahabat dan pembaca budiman,
Sejuk  mata memandang apabila melihat anak-anak pandai mendoakan kesejahteraan kita seperti "Yop" di atas bukan?. Situasi di atas saya terbaca dalam entri  Ustaz Hasrizal dalam blognya. Begitulah salah satu kesan anak-anak yang di didik dengan acuan sebenar Islam.

Nampaknya seperti mendidik anak untuk sampai ke tahap tersebut rasanya mudah saja, tapi sebenarnya di belakang struktur binaan peribadi mereka dan anak-anak yang sewaktu dengan mereka tersimpan beberapa rahsia bentuk-bentuk didikan yang bagus dan tersusun rapi.

Kajian mendapati bahawa 70%  pendidikan anak-anak paling berkesan adalah bermula di rumah. Gurunya ialah Ibu Bapa. Ini kerana, di rumah, anak-anak terdedah dengan praktikal kehidupan sepenuhnya. Maka, untuk mengajar anak-anak nilai kehidupan, marilah kita mulakannya dari rumah!.

Nah! Di sini penulis ingin berkongsi dengan pembaca tentang beberapa idea untuk mendidik anak-anak di rumah dalam  memahami nilai-nilai Islam  menggunakan pendekatan analogi yang logik, praktikal, mudah dan amat santai. Penulis akan menasingkan penulisan ini ke ruang khas bertajuk "Tarbiyyah Anak di Rumah" untuk memudahkan para pembaca sekalian. Semoga perkongsian ini mampu memberi manfaat kepada semua. InsyaAllah..
Sekian, selamat mencuba!

© Tabaji Kozu Education, Inc. All Rights Reserved.






Sunday, February 5, 2012


Cakap hati seorang hamba.



Apa yang harus aku lakukan sekarang?
-terus taat

Untuk apa Taat?
-kerana adanya aku kerana Dia ada. Dia yang jadikan aku.
Dia memerhatikan aku.

(terima kasih ya Allah, kerana memberikan aku kehidupan dan peluang-peluang yang ada di dalamnya untuk ke syurga)

Bagaimana meraih syurga?
- Cari keredhaanNya

Bagaimana?
-usaha

Usaha itu susah, kadang kala berhasil, kadang kala tidak
-Redha Allah hanya perlukan usaha,bukan hasil yang maujud pada realiti material, tapi maujud pada qudrah dan iradahnya.

Usaha itu tetap susah kerana di dalamnya mengandungi pelbagai kesukaran.
- syurga Allah bukan murah. Perlu dibeli dengan usaha. Matawangnya ialah pahala..

Bagaimana boleh tahu kita mampu berusaha atau tidak?
- Allah memberikan kehidupan, Allah memi njamkan qudrah dan iradahnya kepada kita dan Allah tidak menjadikan penghalang kepada usaha kita melainkan kemudahan semata-mata. Kita tidak cacat angota, dikurniakan biah yang selamat tanpa halangan yang berat, dikelilingi ilmu-ilmu dan sumber ilmu yang mudah.

Bagaimana  untuk mengahadapi kesukaran dengan jayanya
- kamu perlu CINTA, dengan Cinta kamu mampu.ia diiringi takut.

Cinta?
-Kamu perlu cintakan Allah.

Bagaimana?
- Dengan  menyedari bahawa Allah mencintaimu.

Tidak!! Aku hina. Bagaimana aku layak dicintai.
- Kamu tidak yakin dengan janji Allah

Bagaimana untuk yakin?
- kenali diri kamu, rasai kelemahan kamu. Maka kamu akan mengenali dan  merasai kebesaran Allah itu. Apabila kamu merasai, barulah kamu meyakini kata-kata dan janjinya.

( Ya Allah... kenalkan diri hamba dengan kelemahan diri hamba ini..)

Aku lemah..adakah Allah mencintaiku?
- jangan bertanya adakah Allah itu mencintaimu.. Tapi tanyalah dirimu adakah kamu itu MENYEDARI bahawa kamu dicintaiNya? Allah sesuai dengan ’siapa dia yang diberitakan pada hambanya’ -Ar rahman..Ar Rahim.

Kamu adalah makhluk Allah yang paling sempurna.

Di sisi makhluk2 Allah, Malaikat yang diperintahkan sujud kepadamu kerana kedudukanmu hebat di sisi Allah. Kamu dilantik menjadi ketua(khalifah) kerana malaikat, jin, binatang atau syaitan sebagai makhluk yang lain tidak layak mendapat taklifan itu.

 Di sisi manusia, kamu sempurna kerana tidak ada cacat celanya pada anggotamu, masih muda, masih mempunyai peluang yang banyak secara adatnya, ilmu2 disekitarmu, guru-guru mengelilingimu, sumber2 ilmu di merata-rata, kamu dikurniakan harta sebagai rezki yang lebih berbanding manusia lain, kamu tidak punya halangan yang berat, kamu punya sahabat yang tidak menentang, kamu punya sahabat yang menyokong dan kamu punya biah jihad yang terhampar luas. Maka..Usahakanlah tanpa penat jemu,Tinggalkan sikap berlemah diri. Bersyukurlah..Jadikan Allah teman akrabmu, harapannmu, cintamu, matlamat hidupmu, tujuan hidupmu.

Thursday, January 26, 2012

Sunday, July 17, 2011

Sunday, May 8, 2011

Ikrar Hanis Khairunnisa' 2

Sesekali hati berkecamuk memikirkan masa depan, sesekali hati tenang memikirkan kudrah dan iradah tuhan. Dia tidak terlepas dari memikirkan dilema kehidupan seperti manusia yang lainnya.

Saat ini hatinya tenang. Dicari-carinya formula untuk mengekalkan ketengannya itu. Apa yang harus sentiasa difikirkan, apa yang harus sentiasa dilakukan. Bimbang saat-saat resah datang semula. Dia tidak mahu perasaan resah, gundah gulana atas-sebab-sebab yang tidak pasti terus menghantui fikirannya.

Apa yang menghantui fikirannya? Masa depan. Masa silam. Keyakinan hari ini. Atau kemungkinan kegagalan hari esok. Dia terlalu risau. Kadang-kadang, dia memikirkan perkara-perkara yang tidak bisa terjadi tetapi tidak mustahil. Memikirkan kehilangan nikmat hari ini, orang-orang yang disayangi, bencana, kesempitan hidup, kesibukan kerja, gangguan manusia atau apa-apa makhluk dan pelbagai lagi. Begitu sekali. Namun, dia tidaklah memikirkannya dengan terlalu mendalam, segalanya hanya sekadar untuk mengingatkannnya kepada kehendak Allah Taala dan untuk menyedarkannya bahawa segala-galanya bukanlah milik dia.

Namun kadang-kadang pemikiran itu tidak mampu membawa dirinya ke tahap iman yang tinggi, dimana tahap keyakinan yang dia harus percaya bahawa segala-galanya adalah di dalam aturan ilahi. Kerjaya, keselamatan diri dan orang-orang yang disayangi, kelapangan atau kesibukan, harta, hatta sehingga gugurnya sehelai daun kering ke bumi, dan halaju angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup nyaman saat itu juga semuanya dalam aturan dan sukatan yang telah tertulis di sisiNya.

Dia kagum dengan manusia-manusia yang mampu memperlihatkan keyakinan mereka terhadap kehebatan Allah itu sehingga ke tahap sedalam-dalamnya dengan tingkah laku dan cara hidup mereka untuk setiap detik kehidupan. Pada hati mereka, ada zikir. Pada tingkah laku mereka, ada zikir. Pada senyum mereka, ada zikir. Pada ucapan mereka, ada zikir. Dan pada diam mereka, sudah tentu mereka berzikir. Ingat Allah. Kerana itulah Allah mengingati, dan mengutamakan mereka.

Soal ketenangan samar-samar yang diperolehi untuk saat-saat ini, dia terus memikirkan apakah yang telah dilakukannya sepanjang hari untuk tenang hingga begitu rupa. Pagi tadi dia masih belum berjaya bertahajjud setelah meninggalkannya untuk beberapa hari, namun telah digantikannya dengan rutin beberapa surah al-Qur'an. Mungkin juga faktor kesihatan. Ya, hari ini dia telah mendapat rehat yang cukup. Mungkin juga terhindar dari segala macam kesibukan dunia, maka dia sempat merenungi kebesaran ilahi. Ataupun... ya! hampir terlupa. Dia sedang mendalami sebuah novel sriritual . Di dalamnya ada zikir dan renungan tentang kebesaran Allah. Tapi.. dia sedar itu semua tidak mencukupi, hatta amalan yang tidak seberapa itu semua juga adalah rezki Allah taala.

Dia risau kembali. Sekejap dia mendengar kata hati, ada lintasan perasaan yang menyuruhnya untuk tenang. Katanya, semua itu tipu daya syaitan. Dipesan-pesan supaya membanyakkan lagi amalan, mudahan-mudahan Allah akan memberikan petunjuknya yang jelas dan terus memeliharanya dari kejahatan diri dan syaitan.

Tipu daya syaitan. Tipu daya dunia.

Apa itu tipu daya syaitan?.
Itulah apa-apa yang dirasakan di hati yang bertentangan dengan sifat-sifat Allah. Jika dia adalah Allah yang dinobatkan dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim. maka seharusnya hamba-hambanya tidak boleh memikirkan atau merisaukan tentang kezaliman atau ketidakadilan yang akan menimpa hidupnya. Dan apa-apa lagi yang semisal dengan contoh tersebut.

Tipu daya dunia?
Itulah apa-apa sahaja yang melalaikan diri dari mengutamakan Allah dalam setiap hela nafas hamba. Biasanya manusia tidak sedar bahawa matlamat sementaranya telah menjauhkannya dari matlamat akhirnya. Kerjayanya contohnya, ada sesetangan manusia yang terlalu mengejar prestasi kerjaya , ataupun mengutamakan kesibukan kerja lebih dari menyibukkan diri untuk mengutamakan yang difardhukan. Itu perkara biasa hamba-hamba akhir zaman.

Friday, May 6, 2011

Amanah

Subhanallah...
Alhamdulillah..
Allahu akbar..

Maha Suci Allah yang telah menunaikan permintaanku, Maha Suci Allah yang telah memberikan khabar gembira kepadaku, Maha Suci Allah yang benar-benar telah mendengar rintihan hatiku.

Segala puji bagi Allah yang telah mengadakan sesuatu dari tiada kepada ada. Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan rahimku sebagai rahim yang terpilih. Segala puji bagi Allah yang sentiasa menjaga dan melindungi kandunganku.

Maha Besar Allah yang mengatakan "terciptalah ia!", maka terciptalah maklukNya dengan sesempurna penciptaan. Syukur, terima kasih Allah....Alhamdulillah!.

Mudah-mudahan Allah sentiasa melindunginya pembentukannya, memelihara ruhnya, menyelamatkan jasadnya, menumbuhkan imannya, menjaga akalnya, dan mengindahkan perilakunya kelak.

Kini, bersama kurnia itu, amanah. Bersama amanah tuhan itu, mujahadah. Bersama apa yang telah ku pinta itu, pengorbanan diri, masa, perasaan, tenaga, dan segalanya..

Sudah sampai masanya aku mempersiapkan diri dengan sebenar-benar persiapan untuk menggalas tugas seorang ibu. ya Ibu. Mengejanya hanya dengan tiga huruf, membunyikannya hanya dengan 2 suku kata, menggelarkannya boleh kepada sesiapa sahaja tetapi untuk melayakkan diri untuknya, tidak terkira pengorbanannya.

Tidak penting lagi rasa untuk bermanja-manja. Tidak sesuai lagi untuk terus bergantung harap kepada manusia. Mengadu perlu hanya padaNya. Merintih hanya perlu dihadapanNya, sekalipun aduan dan rintihan itu telah dia fahami. Namun, doa harus terus dipanjatkan agar jalan sentiasa dipermudahkan.

Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani…

Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.

Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .












Inilah tugas seorang Da’e. Mendidik insan, memanusiakan. (berusaha membentuk manusia yang kembali kepada fitrahnya- tunduk dan patuh kepada RabbNya)
Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.





Apa tugas seorang manusia?

1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e





Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.






Dan wahai AL Muaddib, tugas yang tertulis untuk kita adalah berjuang membentuk manusia yang berfungsi sebagai hamba, khalifah dan da’e yang baik. Itulah tugas kita dari satu sudut sebagai mata rantai perjuangan.






Menimba Ilmu, menjaga akhlak, menyalurkan ilmu, membentuk dan mendidik akhlak diri dan mad’u (anak-anak, khususnya kepada Muaddib yang akan berjuang di bidang pendidikan) bukanlah suatu usaha yang mudah.






Kesabaran, Istiqamah, kemahuan dan Azam, serta kesedaran tanggungjawab menjalankan amanah ini perlu dipastikan sentiasa segar buat jiwa, sesegar cinta kita pada perjuangan, jihad.. Ya, dalam konteks yang sama, jihad kita ialah untuk memanusiakan manusia.,Memastikan anak-anak ini mendapat tarbiyyah di peringkat awal supaya laluan mereka untuk menjadi jundiy yang berdiri teguh di saff tenteraNya menjadi mudah, ..InsyaAllah, Walau apapun, hanya Allah yang layak memudahkan segala urusan hambanya, milik Allahlah bagi setiap jiwa, ruh, jasad, niat dan usaha kita.







Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.




Sama-samalah kita berusaha menjernihkan anak-anak yang akan kita didik ini dengan kefahaman Islam yang sejati.






InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…




“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “


( Hadith Sahih)