Friday, April 16, 2010
Satu Lagi Kubu Tarbiyyah Para Jundiy
Saturday, April 3, 2010
Mujahidah, lakar langkah fi sabilillahmu
Tidakkah engkau merasakan kasih sayang dan keprihatinan Allah terhadapmu..
Pelbagai duka kau harungi..
Hampar tergugah keyakinanmu..
Dan engkau berlalu kecewa
Namun
Allah menyapamu dengan kasih sayang
Dengan kelembutannya dia memujukmu
Dan menghadiahkanmu sebuah hadiah
Yang tidak terjangka olehmu
Kini engkau tersenyum
Mengalir air mata
Tangisan kali ini
Kerana terharu dengan layanan Khaliqmu
Kini,
Berjanjilah...berjanjilah..berjanjilah
Bahawa engkau akan mengasah diri segilap mungkin
Menjadi mujahidah ulung
Hamba yang menyahut seruan Khaliqnya sepenuh masa
Menjadi sayap kiri kepadanya
Kekal terpilih sebagai bidadarinya di jannah abadi
Menjadi ibu yang murabbi kepada zuriat ahlul jannah
Supaya keturunan jundullah itu
Bisa menjadi satu angkatan
Yang bisa terus berjuang
Fi sabilillah.
Terima Kasih Allah, Alhamdulillah.
Ya Khaliqku, jika ini ketentuannya, Aku Redho..
Maka permudahkanlah...permudahkanlah...permudahkanlah.
Dengan kekuasaaMu yang tiada tara wahai yang Maha Agung
Kun Fa Yakun,
Maka, permudahkanlah
dan
Redhoilah kami.
Dalam melakar langkah fisabilillahmu bersama.
hanisah
3 April 2010
Sunday, February 28, 2010
A.Q.I.L.A.H
Februari 2010.
Aku berjalan memantau gerak kerja anak-anak didikku di tahun 1 Ibnu sina menyiapkan tugasan yang aku berikan. Tidak lama kemudian, beberapa orang murid (terkedek-kedek dengan comelnya) datang ke meja guru menyerahkan tugasan yang telah disiapkan.. aku menyemak tugasannya. Aku menelitinya. Tulisan yang kekok tapi lengkap. Susunan yang agak tunggang terbalik tapi penuh. aku tandangan, tulis tarikh dan, 3 bintang ditandakan di sisi helaian lembaran kerja tersebut. Tapi.. tugasannya kekurangan sesuatu. Nama.
“ Aqilah, lupe tulis nama ke…?” aku membesarkan mata, mendekatkan mukaku ke mukanya dan cuba menggayakan seperti seorang kanak-kanak yang keliru, dan senyum.
Aqilah senyap.
“ok…aqilah buat molek dah ni. Ustazah bagi 3 bintang doh. Tapi… macammane ustazah nak bagi hadiah nanti kalu ustazah tak ingat nama..Aqilah tak tulis nama ni…”
Aqilah senyap.
“ ok, aqilah gi duduk, tulis nama dulu deh..”
Aqilah tak bercakap walau sepatah. Perlahan-lahan dia mengambil semula kertas di tanganku dan kembali ke tempat duduknya.
Aku meneruskan kerja menyemak murid-murid lain. Tidak lama kemudian aku lihat Aqilah beratur semula menunggu giliran untuk disemak tugasannya. Sampai gilirannya, aku memeriksa bahagian ruang nama. Kosong. Tiada nama.
“Aqilah, kenapa tak tulis nama sayang?..bukanke ustazah suruh tulis tadi.. “ Aku pelik.
Aku memandang mata aqilah dengan tepat. Kelihatan matanya digenangi air. Muka sebek. Dia mula menitiskan air mata.
“ saya tak pandai tulis nama” Aqilah berkata kepadaku dalam loghatnya sambil mengesat pipinya dengan hujung lengan bajunya.
Hati aku tersentuh, teringatkan kisah silam. Aqilah ini adalah aku pada 17 tahun yang lampau. Namun nasibnya jauh lebih baik.
Aku senyum kepadanya
“Hm..aqilah boleh tolong ustazah tak, ambilkan kerusi di hujung sana tu? Ambil dan bawa ke sini, boleh?” aku bertanya.
Aqilah tanpa sempat menghabiskan anggukannya bergegas kearah kerusi yang aku tunjuk dan mengheretnya ke sisiku.
“ok..terima kasih..! duduk aqilah” Aqilah tanpa banyak bicara duduk di sisiku di atas kerusi yang diseretnya sebentar tadi.
Aku menyediakan satu kertas lain untuk menulis sesuatu di atasnya.
A.Q.I.L.A.H
Satu nama tercoret di atas kertas tersebut. Aku mengajarnya mengeja nama tersebut sehingga dia mampu.Tidak semudah itu dia memahami huruf sepertimana kanak-kanak lain memahaminya. Maka aku mereka satu cerita.
“al kisah…Pada suatu hari, ada huruf A berlari-lari mencari kawannya huruf Q di dalam sebuah taman, kemudian bila sudah jumpa, mereka berjalan bersama-sama . Tiba-tiba, mereka terserempak dengan huruf I yang sedang digigit oleh ikan. Huruf A dan huruf Q menolong huruf I melepaskan dirinya dari gigitan ikan tersebut. Ikan itu mengganas, dia mahu memakan huruf A dan huruf Q pula, tiba-tiba datang sebatang lampu jalan yang berbentuk L memancarkan cahayanya yang ajaib kearah ikan tersebut. Lampu jalan itu ingin menolong mereka. Lantas, apabila ikan tersebut terkena cahaya lampu jalan itu, ikan tersebut menjadi lemah dan mengecil, maka selamatlah huruf A, Q dan I. lampu jalan berbentuk L itu menjadi sahabat mereka. Kemudian mereka meneruskan perjalanan mereka sehinggalah mereka terjumpa kembar A. Kembar A itu sedang bermain jongkang jongkit bersama huruf H…Mereka berkumpul dan jadilah mereka sahabat baik 6 sekawan”
Aqilah tergelak kecil. Tangannya menunjuk kearah lampu jalan yang aku lukis di atas kertas tersebut.
“ comel tak lampu ni?”aku menyambut tawanya.
Aqilah mengangguk.
“ sekarang, cuba aqilah sebut, siapakah kawan-kawan huruf A?” Aku memintanya menyebutnya mengikut turutan.
Aqilah menyebutnya satu –persatu berdasarkan lukisan dengan jalan cerita yang aku lukis. Kemudian aku memintanya menulis huruf-huruf yang terbentuk.
Lengkap. Aqilah berjaya menulis 6 huruf namanya tanpa meniru .
Di sisiku, Aku meminta dia menyalin semula namanya sebanyak 10 kali sementara aku menyemak tugasan kanak-kanak lain. Aku puas hati, sekurang-kurangnya aku dapat merasakan seperti hanisah 17 tahun lampau terubat dan tersenyum dengan bimbingan itu. Jika diberi pilihan, itulah yang aku mahukan 17 tahun dulu. Perhatian, Kasih sayang, belaian itu mampu menjadi bukti dorongan yang kuat untuk berjaya bagi kanak-kanak. Walaubagaimanapun,jika aku berkesempatan berjumpa dengan guruku yang telah mengajarku dengan pendekatan Gestalt( marah dan ancaman), aku tetap jadi pandai kerana itu. Walau apapun, terima kasih cikgu, sayang dan marah cikgu adalah pemula segala…
Saturday, January 23, 2010
Surat kepada Guru
Apa khabar dirimu guruku? Moga sihat hendaknya disisi Allah, moga keberkatan dan rahmatNya selalu tercurah untukmu. Saat jari ini menari lemah di pentas keybord usang ini, pendengaran ini terhibur dengan nasihat-nasihatmu yang sempat ku rakam semasa sesi kuliahmu di tanah berkah itu, tetapi guruku..ternyata hatiku begitu sayu.. sayu sekali. Hati ini kalah sekali pada hari ini, sebak di hati menggumpal kerana rindu, air mata ku tertitis jatuh kebumi, membasahinya, mudah-mudahan bumi juga menjadi saksi sesal dan rintih ini di hari pengadilan kelak..
Guruku...
Terkenang suatu masa di tanah berkah itu, hati ini padu dengan keyakinan, kerana melihatkan jatidirimu yang tegas membela deen ini.. Kuatnya dirimu terbias kepada setiap jiwa yang menghadirkan diri menerima nasihatmu..Lantas pada suatu saat di tanah berkah itu, diriku cuba melihat apa yang akan terjadi pada hari ini. Adakah keyakinanku akan tergugah dek biah yang alpa nanti? diriku telah menjangka apa yang akan berkalu pada hari ini, dan diriku telah cuba melengkapkan segala kekuatan untuk membenteng mehnah hari ini. ternyata benteng itu rapuh..Ternyata hari ini, diriku lemah sekali...
Guruku...
Ternyata duniaku kini seolah-olah berjaya menipuku.. seolah-olah dunia ini berjaya meletihkanku dengan taklifan-taklifan yang tidak ku fahami fungsinya di sisi deen ini. Guruku, bagaimanakah ini... bagaimanakah aku mampu mempertahankan rutin iman di hati ini sedangkan tuntutan dunia sedang mengasak dan melanyak hebat haqq-haqq iman itu.. ditambah pula dengan ketidakselarian fikrah insan-insan di sekelilingku..
Guruku...
Masih diri ini mahu memegang erat janjiku terhadapmu dan terhadap diriku bahawa..aku akan menjauhi DAJJAL itu..benar katamu, ia sungguh dajjal! Dia berjaya membodohkan sahabat-sahabatku..diri ini menyaksikannya guruku, tetapi..diri ini tidak berjaya menyekatnya.. diri ini telah mencuba tetapi dicemuh seluruhnya.. sehinggakan diri ini lemah kerana diri ini dikelilingi mereka.. diri ini gagal bertahan lebih lama, dan hari ini diri ini hanya berjaya mengasingkan diri untuk mengelakkan pengaruhnya... bagaimana ini guruku.. diri ini ditaklif mereka sebagai amirah tetapi tidak dibenarkan melaksanakan tugas seorang amirah.. fahamkah mereka apa yang mereka mahukan? Apakah soal halal dan haram itu di luar tanggungjawab taklifan ini?Guruku, diri ini tidak pandai mentarjih hukum dalam situasi ini...diri ini letih memikirkannya, diri ini letih memikirkan samada masih validkah statusku di sisi Yang Maha Mengadili..
Lakar wajahku sentiasa tersenyum buat mereka, riak gerakku sentiasa ceria menyapa mereka..tetapi diri ini yakin, yakin bahawa tiada siapa yang boleh mengesan derita di hati, kerana keyakinan pada diri ini dalam satu perkara amat tinggi, apakah itu? itulah keyakinan bahawa diri ini tahu dan bijak berlakon bermanis muka saat hati renyuk, hampa dan menangis hiba..tiada siapa akan tahu.
Guruku...
Diri ini sedar, segalanya sedang terhakis.. sedikit demi sedikit. Kebodohan kesibukan ini amat ku benci. Sesekali hati ini mengharap ada hati-hati yang sudi memahami derita hati ini, tapi hampa.. mereka semua hanya bergembira. Mereka punya masa lapang yang banyak, tapi mereka bergembira dengan hidangan dunia. Apabila mereka sibuk,mereka tetap bergembira dengan hidangan dunia, sedangkan hati yang derita ini berhempas pulas melaksanakan tanggungjawabNya dan sekaligus terpaksa melayan tuntutan dunia yang mengada-ngada..Dan diri ini sungguh pelik guruku, bahawa mereka sering pula risau pada perkara yang tidak memberi makna..
Guruku...
Siapalah yang dapat hadir mengubat rindu ini untuk kembali ke tanah berkah itu,menghadirkan hati dan jasad ini sekaligus meraih dan merintih untuk redhonya dengan penuh ketenangan... Guruku, diri ini tidak pasti bilakah Izzah Islam akan terpancar di tanah yang berdirinya dajjal-dajjal ini. sungguh diri ini tersepit kerana senjata dajjal itu begitu berbisa. Hati ini makin lemah...
Guruku..
Hati ini tidaklah tajam seperti hati yang tuan guru miliki.. hatimu guru mampu mengenal jiwa tulus dan jiwa penipu.. Hati yang kabur ini sering tergapai-gapai mencari hati yang tulus.. yang mampu bersama denganku, dan dengannya, diri ini mampu berdiri dan bertahan lama..
Guruku...
Tidak mustahil diri ini akan menolak semuanya yang diri ini miliki hari ini termasuklah peluang-peluang yang masih dapat ku bezakan dari bencana.. Kerjayaku, gerak kerjaku, kawan-kawanku, kampusku, dan title "cikgu" ,Tidak mustahil kerana diri ini begitu bercelaru fikiranku dan imanku.. Guruku, diri ini perlukan nasihat, teman, kekuatan... Ajarkan diri ini cara-cara termakbulnya doaku, duhai guruku...
Guruku, sampai di sini sahaja. Ku mohon secebis tadahan doamu buat kesejahteraan dan kekuatanku.. Ku mohon doakan kasih-sayang Allah dan redhoNya selalu tercurah untukku... agar diri ini masih kuat untuk bersabar dengan semua ini... Guruku, diri ini selalu mendoakan impianmu untuk melahirkan ulama' besar suatu hari nanti, perkhabaran dari petunjuk Habaib itu menjadi kenyataan agung kelak..diri ini sentiasa mengikuti khabar perjuanganmu guruku..
Friday, January 22, 2010
TRAINING PROGRAMME bersama CREATIVE SIFU

Bentuk program:
Tempoh masa:
2 hingga 3 jam bagi satu fasa
Fasa:
1- Creativity
2- Creativity Development
3- Editing
Di akhir program anda akan:
Sedar yang anda seorang yang kreatif
Berkeyakinan untuk membina modul sendiri
Rasa boleh menjadi seorang naqib yang cemerlang
Bayaran:
PERCUMA!
Bagaimana hendak menganjurkan training programme ini di kampus anda?
1- Cari tarikh dan masa yang sesuai (seeloknya hujung minggu)
2- Cari tempat yang sesuai yang mudah peserta dan pihak kami ke sana
3- Kumpulkan individu yang berminat untuk menyertai training programme ini. cadangan: buka kepda semua naqib/ individu yg terlibat dgn LDK, Kem Kepimpinan, Kem Ibadah, etc.
4- Hubungi dan maklumkan kepada kami
Thursday, January 14, 2010
Al Fatihah buat 2 Mujahid..
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Kau sahabatku kau teman sejati
Allahyarham Ustaz Fadhiri
Allahyarham Ustaz Faizol
Klik sini utk berita kronologi kejadian kemalangan.....
Monday, December 28, 2009
Cinta itu datang lagi
Saat aku bertimpuh di tepi jendela, ku renung setiap nikmat yang terhambur di segenap sudut alam yang mengelilingiku. Angin pagi bersemilir menghembus lembut mengusap pipi. Aku ditemani alunan qasidah dari telefon bimbitku yang sempat ku rakam ia dialunkan pelajar-pelajar di sini.
"Ya Badra Tim....Ya Badra Tim...''
Wahai nabi yang tampan bercahaya indah laksana bulan mengambang penuh,
yang telah meraih segala keampunan,
bagaimana kata-kataku mampu mengungkapkan ketinggian sifat-sifatmu?
Engkaulah yang telah terbit mentari ilmumu di ufuk ketinggian dan kemuliaan
lalu dengan cahaya syariatmu, telah engkau lenyapkan segala kesesatan.
Di sisiku, kitab-kitab tulisan guruku tersusun kemas menunggu giliran untuk dihadam akal bagi tujuan mengulangkaji sebentar nanti.
Tirai jendela dan pepohon meliuk lintuk ditiup angin pagi. Segalanya kelihatan begitu damai di bumi yang berkah ini. Bumi ini dan tempat ini telah banyak melahirkan pelapis mujahidin. Pelapis-pelapis mujahidin yang terbius ruhnya dengan cahaya Iman..dan cahaya itulah yang telah membuahkan kesediaan kami untuk memegang utuh ikrar dalam perjuangan ini. Inilah Baitul Qurra' Wal Ilmi, 'rumah' yang telah melahirkan jiwa-jiwa tegar dengan prinsip dan perjuangan, setegar jiwa guruku,uswah hasanah kami.
Tawa dari usik mengusik di kalangan muslimat dari ruang tamu mencuri perhatianku. Aku ralit memerhatikan gelagat mereka. Mereka muslimah harapan. Tawa mereka tawa yang sopan. Ceria mereka ceria yang harapan. Tangis mereka tangis cinta dan pengharapan hanya kepada yang Zat yang memiliki hati mereka.

Aku mengalihkan pandanganku kepada sehelai kanvas berlapikkan buku tebal di ribaanku. Lantas tanganku terasa ingin menari mencoretkan sesuatu.
Maka aku menulis..
Ya allah...Cinta itu subur kembali..
dan Cintamu bukanlah sesuatu yang bersifat murahan.
Takkan aku lakukan kesilapan yang sama berlang kali, ingin mendapatkan cintamu dengan jalan yang singkat, ternyata usahaku dahulu usaha murahan.
Takkan sesekali aku rendahkan nilai cinta itu lagi dengan usaha yang amat sedikit, maka ia menuntut pengorbanan.
Hadirlah diriku di setiap jagaanMu, Engkau Maha Melindungi..
Akan ku gagahi..
.
Hijrah vs Hipokrit

Tuesday, December 22, 2009
Sekilas Info FTA utk Cikgu, mesti tau!
Kerajaan Malaysia secara sulit berbincang dengan Amerika Syarikat untuk menandatangani FTA. Ramai yang hairan dengan sikap kerajaan yang cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada rakyat. Dan rata-rata rakyat Malaysia masih lagi baru mendengar perkataan FTA.
Apakah FTA? Suara Keadilan tanyakan soalan itu kepada Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud. Beliau mengupas FTA dengan panjang lebar, ikuti temubual menarik di bawah.
Boleh saudara terangkan apa itu FTA dan apa yang sebenarnya berlaku sekarang?
Syed Shahir: FTA bermaksud Free Trade Agreement, atau Perjanjian Perdagangan Bebas. FTA ini, bersifat bilateral, iaitu perjanjian dua hala melibatkan di antara satu negara dengan satu negara yang lain.
Sebenarnya tidak ramai yang mengetahui apa yang sedang berlaku sekarang ini. Dalam konteks ini, yang lebih dominan dalam rundingan FTA Malaysia-Amerika ialah Amerika, yang juga merupakan kuasa terbesar dunia dalam semua konteks dan dari pelbagai segi.
Amerika lebih menguasai walaupun pada dasarnya, perjanjian ini sepatutnya menguntungkan kedua pihak. Oleh sebab dominasi Amerika, maka rundingan tersebut lebih memihak kepada kuasa dunia itu.
Di rantau ini, Amerika sudahpun memeterai FTA dengan Singapura. Walaupun sepatutnya Amerika memeterai perjanjian yang sama dengan Thailand, tetapi rundingan terpaksa ditangguhkan.
Di satu sisi kelihatan perjanjian FTA ini bagus, antaranya tiada halangan peralihan modal dan produk di antara dua negara terbabit. Apa yang ditentang ialah perjanjian yang tidak seimbang. Misalnya, dalam soal perbankan, praktis di Malaysia sekarang peraturannya agak ketat dan masih dikawal.
Dengan adanya FTA, tiada apa yang boleh menghalang sebuah bank besar Amerika Syarikat, misalnya First Boston Bank, untuk masuk ke negara kita dan menelan tiga atau empat bank tempatan. Dan seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan FTA, tiada apa yang bolehmenyekat pembelian tersebut.
Jika kita lihat soal petani misalnya, sekarang kita tahu bahawa sedikit-sebanyak kita masih menghasilkan padi dan beras di Mada, di Kada, di Sungai Manik, di Lembah Kriang, di Tanjung Karang dan sebagainya. Ini adalah merupakan kawasan-kawasan penanaman padi yang memang dibantu oleh pemerintah. Sama ada dari segi subsidi baja, biji benih dan bermacam-macam lagi.
Begitu kita ada perjanjian ini, syarikat asing akan kata bantuan ini tidak adil. Mereka akan kata, “Bagaimana saudara boleh bagi bantuan dan sebagainya kepada petani tempatan sedangkan kami mahu membawa masuk beras kami?” Berbalik kepada soal eksport, seperti minyak kelapa sawit, memang benar perjanjian dengan Amerika membenarkan kita bebas mengeksport dan mengimport.
Tetapi persoalannya, kalau misalnya pengguna di sana enggan menggunakan minyak kelapa sawit, apa kita nak buat?
Amerika akan kata, “Itu bukan salah kami. Masalahnya mereka tidak mahu apa yang kamu eksport kepada kami. Mereka lebih gemar makan minyak soya.” Dan ini dia kata adalah satu perkara yang adil, kerana pengguna tidak mahu. Bila mereka hantar beras ke sini, orang Malaysia lebih suka beras dari AS kerana ia lebih berkualiti, dan harganya lebih murah. Dan mereka akan kata, “Ini juga bukan salah kami, kerana rakyat Malaysia lebih sukakan barangan kami.”
Pada waktu itu, kita tidak boleh sekat kerana ada perjanjian. Mereka bukan sahaja boleh mengemukakan bantahan, malah mereka boleh mengenakan penalti ke atas kita. Banyak negara yang sudahpun dikenakan penalti kerana cuba melindungi syarikat tempatan.Dan hal ini, saya fikir kita perlu ambil perhatian.
Dan yang ketiga, dari segi pekerja misalnya. Apa akan berlaku kepada kita? Syarikat asing akan memberi kesan yang besar kepada kita kerana apabila mereka masuk nanti dan dengan adanya FTA, syarikat-syarikat gergasi AS boleh berbuat apa sahaja yang mereka mahu atas nama perdagangan bebas.
Bukankah persaingan itu bagus untuk ekonomi negara?
Ada orang pernah katakan, kalau kita nak lawan seseorang itu dengan permainan dia, tentu kita akan kalah. Sebagai contoh, mereka ajak kita bermain American Football. Suatu permainan yang asing bagi rakyat kita. Dan kalau kita tengok pemain-pemain mereka, yang paling rendah 5 kaki 8 inci.
Bagi kita, itu paling tinggi tapi bagi mereka itu paling rendah. Lebih dari itu, saiz mereka juga besar. Apakah kita mampu berlawan? Dari segi peraturan, memang adil. Kita kumpulan 20 orang, dia pun 20 orang. Dia pakai helmet, kita pun pakai helmet. Kita pakai kasut but, dia pun pakai kasut but. Tapi dari segi saiz, tidak seimbang.Perbandingan harus dibuat dengan negara-negara yang setara dengan kita seperti Singapura, Thailand dan Korea Selatan.
Apakah perjanjian ini akan memberi kesan kepada pekerja termasuk Perjanjian Bersama (CA)?
Perjanjian FTA tidak sebegitu, ia masih lagi menghormati lagi beberapa hal. Tetapi kita jangan lupa bahawa antara undang-undang dengan tindakan atau dasar ialah dua perkara berbeza. Sebab itu bila kita lihat di beberapa negara, undang-undangnya baik, tetapi jika kita lihat dasardan tindakan, ia menjadi satu hal yang lain.
Sebagai contoh, undang-undang tiada halangan mengenai menubuhkan atau seseorang untuk bergiat aktif dalam kesatuan sekerja. Tetapi proses dan realitinya berbeza sama sekali. Ambil contoh misalnya, dalam konteks, pekerja-pekerja dalam industri elektronik.
Perjuangan untuk membentuk, menubuh kesatuan pekerja dalam industri elektronik ini sudah menjangkau lebih 30 tahun dan masih tidak selesai lagi. Jadi apa ertinya ini? Ertinya dalam konteks tindakan, perlakuan dan dasar berbeza dari undang-undang.
Berbalik kepada soal yang diperkatakan tadi. Apakah nanti CA akan terhapus?
Saya tidak rasa CA akan terhapus, kerana masih ada lagi ruang untuk berunding. Akan tetapi dalam masa yang sama pengaruh dari syarikat-syarikat gergasi multinational ini memang cukup kuat sekali. Dalam beberapa pertemuan dengan wakil-wakil kerajaan AS, saya suarakan keprihatinan kita atas isu-isu kesatuan pekerja dan penubuhannya.
Sebagai contoh, apa yang berlaku kepada sebuah pasaraya besar, Walmart di Quebec, Kanada. Salah satu dari dasar Walmart ialah ‘free environment from unions’, iaitu tiada kesatuan sekerja di dalam syarikat itu.
Di China, keadaannya berbeza sama sekali. Pekerja-pekerja Walmart di China boleh menubuhkan kesatuan pekerja. Apa yang mahu ditekankan di sini ialah, sejauh mana keikhlasan syarikat-syarikat sepanjang mengenai memberi hak kepada pekerja nanti.Ini merupakan satu hal yang kita masih ragu-ragu.
Selain dari itu, apa lagi yang tidak dipersetujui, atau perkara-perkara yang membimbangkan dalam FTA ini?
Dalam FTA ini antara lain nanti tidak akan ada semacam hal-hal yang melindungi. Misalnya kuota untuk sebahagian orang atau kelas dan sebagainya. Ini semua tidak boleh ada.
Menurut FTA, itu adalah perdagangan yang tidak adil. Oleh kerana kita menghadapi syarikat besar, dia sanggup lawan.
Katalah kita hasilkan produk ‘x’, dan mereka kemukakan produk ‘y’ yang jauh lebih murah. Tentu sekali pembeli akan memilih ‘y’. Tetapi bagaimana pula dengan pengusaha kita? Tetapi dari sudut pengguna, itu bagus dan adil bukan?
Ya, dari satu segi itu amat bagus untuk pengguna, tetapi bagaimana pengguna boleh menjadi bagus kalau tiada kerja, atau tiada pendapatan? Ini antara kebimbangan kami. Maknanya, bagus kalau kita beli barang yang murah dan berkualiti, tetapi bagaimana nak beli kalau kita tiada duit?
Apa sebab saya tiada duit? Kerana saya tiada atau hilang pekerjaan. Misalannya, petani padi di Tanjung Karang. Syarikat kata baja boleh dibeli pada harga murah.
Kemudian didatangkan baja, dengan harga satu beg tidak sampai 20 ringgit, dan dijual hanya 13 ringgit. Tetapi bagaimana mungkin dia boleh beli baja-baja itu jika padinya tidak dapat dijual? Itu implikasinya. Ini diantara perkara yang perlu diberi perhatian.
Dan sepanjang rundingan ini, nampaknya wakil-wakil kerajaan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri membisu. Kita tidak menerima sebarang perkembangan atau penerangan dari pihak kerajaan Malaysia.
Bolehkah kita menolak FTA?
Boleh. Bukan semua negara menandatangani FTA.
Tetapi apakah itu akan merugikan kita?
Dari satu segi, ada yang menyatakan ia akan merugikan kita kerana kita tidak mempunyai perdagangan dengan AS. Tetapi bukankah kita ada hubungan perdagangan pelbagai hala dengan pelbagai negara di dunia ini seperti sebelum ini.
Memang ada satu tanggapan, jika tiada FTA, kita akan rugi. Tetapi kita boleh juga belajar dari pengalaman Mexico, Chile dan Jordan. Kita harus teliti, adakah mereka untung atau rugi?
Jika benar perkara ini baik dan mendatangkan faedah, mengapa ia dibuat secara eksklusif? Mengapa tidak dibuka dan kita bincang, jika ia benar-benar baik?
Sepatutnya satu isu yang besar yang melibatkan negara, kerajaan dengar pandangan orang ramai. Parlimen harus tahu, dan perlu jawatan-kuasa yang memantau rundingan tersebut. Mengapa ia dijadikan eksklusif?
Kalau benar ia baik, kalau benar ia menguntungkan kita, kita tidak akan menentang. Mengapa pula kita akan tentang perkara yang memanfaatkan kita? Kita akan menyokong. Apa yang kita bimbang bahawa, ini akan mendatangkan malapetaka kepada kita dalam jangka masapanjang.
Sekarang ini, dari pemerhatian, apa yang cuba disembunyikan kerajaan?
Saya juga berasa pelik, mengapa isu ini dianggap sebagai satu hal yang tidak boleh dihebahkan. Sedangkan hal ini seharusnya terbuka kerana iamempengaruhi kehidupan rakyat. Lebih dari itu, kerahsiaan ini juga bertentangan dengan seruanketerbukaan Perdana Menteri.
Ada dateline pada rundingan ini?
Menurut pihak AS, rundingan ini melalui proses fast-track. Maknanya, perkara ini disegerakan, mungkin sekitar pertengahan tahun hadapan.
Apakah ini satu bentuk penjajahan ekonomi?
Ya ini memang agenda besar AS. Selain dari politik dan ketenteraan, ini antara salah satu keupayaannya dalam mempengaruhi tiap-tiap negara melalui perdagangan.
Misalnya, dalam perniagaan sekarang ini, ubah struktur lembaga pengarah mudah sahaja. Mereka beli saham dan kuasai syarikat itu, dan dari situ ia boleh ubah. Jadi dalam konteks ini, kalau mereka boleh datang, mereka boleh tawarkan duit sebegini, mengapa tidak?
Apakah ia melibatkan kedaulatan..
Oh Memang! Ini soal yang besar, yang kita sebagai rakyat negara ini harus pandang serius. Ini bukan soal main-main. Tidak perlu lagi mereka datang sepertimana di Iraq atau Afghanistan.
Mereka datang cukup dengan membimbit beg sahaja. Dan kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita telah meterai perjanjian FTA. Dan ada klausa-klausa tertentu yang menentukan denda dan hukuman jika gagal mematuhi atau melanggar perjanjian tersebut.
Apa pendirian MTUC dalam hal ini?
Kita mahu satu perjanjian perdagangan yang lebih adil dan bukan lebih memihak kepada satu pihak, baik secara tersurat atau tersirat. Jadi pada hemat kita, kita mahu satu bentuk perdagangan yang betul-betul menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Antaranya, kita boleh eksport ke negara terbabit dan mereka juga boleh mengeksport ke negara ini, dengan cara yang lebih seimbang.
Apa yang harus rakyat Malaysia lakukan?
Saya mencadangkan antara lain, rak-yat perlu menemui wakil-wakil mereka samada diperingkat dewan undangan negeri atau Parlimen dan tanya mengenai perkembangan FTA ini, dan tanyakan juga penyelesaian kepada masalah-masalah berbangkit kerana ini satu isu yang besar.
Kemudian, mereka hendaklah menyatakan sikap secara terbuka kepada pemerintah. Suarakan keprihatinan dan kebimbangan. Ketiga, kita harus mengambil iktibar dari pengalaman negara-negara lain.
Seperti yang saya katakan tadi, mengapa petani-petani Korea sanggup mengeluarkan belanja sendiri dan terbang ke Amerika Syarikat dan berdemonstrasi di Washington DC?
Kita ada lebih 11.6 juta tenaga pekerja di Malaysia, itu satu jumlah yang besar, dan mereka ini yang akan menerima impak dari FTA. Pendirian kami tidak berubah, nasib pekerja ialah perjuangan kami.
Ini bukan soal politik, ini soal tanggungjawab dan kepentingan pekerja. Malah untuk pengetahuan, kesatuansekerja di Amerika Syarikat juga menentang FTA.
Mereka membantah kerana FTA mengganggu-gugat kepentingan pekerja Amerika Syarikat.
Apa yang jelas, tidak semua menyokong FTA ini. Kerana yang benar-benar menerima manfaat besar dari FTA ini ialah syarikat-syarikat gergasi Barat, terutama sekali syarikat Amerika. Malah kita boleh lihat, syarikat-syarikat ini bersungguh-sungguh melobi sehingga sanggupmengeluarkan belanja berjuta-juta ringgit.
Friday, December 4, 2009
Selamat Datang... Kita Mendidik Kerana Allah
Assalamualaikum wa rahmatullahhi wa barakatuhu.
Salam setulus hati buat para sahabat-sahabatku, para muaddib yang bersama-sama mengorak langkah dalam perjuangan. Kita semua adalah muaddib, pembentuk adab. Mengapa ana menekankan konotasi ‘AL-Muaddib di sini berbanding Al-Muallim, atau Al Mursyid? Kerana Al Muaddib ialah insan yang membentuk akhlak, satu konotasi yang membawa maksud terus kepada matlamat akhir (hadaf al a'liyy) bagi tugas seorang pendidik .

Sahabatku, setiap individu telah tercatat padanya tugas dan amanah masing-masing yang perlu dikemudikan dengan penuh kesabaran saban hari.
1) Sebagai hamba
2) Sebagai Khalifah
3) Sebagai Da’e
Sebagai hamba,hak-hak seorang hamba perlu dilakukan. Sebagai Khalifah, kewajipan kita ialah menunaikan amanah sebagai ‘seorang yang mengurus (mengikut kemampuan seorang hamba) dan sebagai da’e, kita mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran, mengajak manusia tunduk dan patuh pada Allah dengan penuh ketaqwaan.

Wahai sahabat-sahabatku, diri yang penuh dhaif ini menyeru kita bersatu tega mempertahankan manhaj pendidikan yang benar, kaedah pendidikan asli yang diajarkan Rasullullah, menapis segala bentuk doktrin pendidikan orientalis, yahudi atau nasrani yang telah lama cuba mengucar-kacirkan sistem hidup dan pemikiran kita.

InsyaAllah… ikhlaskan niat tugas mendidik ini untuk Allah semata, pasakkan keyakinan bahawa kemenangan itu telah disediakan, yakin dengan janji-janjinya , suburkan kesabaran dalam menghadapi mehnah…
“Dari Sahabat Annas bin Malik r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, bahawa Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Orang yang berjuang di jalan Allah, dia menjadi tanggunganku, jika aku memegangnya (mengambil nyawanya) aku wariskan syurga kepadanya. Dan jika aku mengembalikannya ( tidak mati dalam perjuangan), aku kembalikan dia dengan pahala atau ‘harta rampasan’(hasil)… “
